Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob bakal bersanding semula dengan isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz pada November ini sempena ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.
Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 40, berkata perkara itu adalah amanah arwah bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad yang meninggal dunia pada Februari 2016 selain ingin mengembalikan pengalaman bersanding kepada isterinya.
"Insya-Allah, buat masa sekarang saya masih merancang. Saya sudah niat perkara ini sejak Ramadan lalu. Kalau segalanya berjalan lancar, saya merancang untuk buat sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke-13 pada November ini.
"Arwah ayah pernah pesan, kalau sampai waktu sesuai dia mahu kami bersanding semula. Ketika majlis berlangsung sebelum ini, ramai jemputan dalam kalangan rakan politik arwah tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Begitu juga pihak media. Pendek kata, siapa yang pernah berada di majlis kami dahulu, tahu apa yang terjadi.
"Sekurang-kurangnya apabila majlis persandingan ini dibuat semula, saya dapat mengembalikan pengalaman itu kepada isteri. Saya nak dia merasai momen perkahwinan seperti pasangan lain," katanya.
Fazley yang juga Chef Selebriti berkata, dia ingin menghidupkan semula impian arwah bapanya untuk melihat mereka bersanding dalam tema tradisional moden.
"Majlis ini nanti lebih kepada keluarga, rakan arwah dan pihak media. Cuma, senarai jemputan belum diputuskan.
"Menariknya, saya juga bakal menyediakan sendiri hidangan untuk tetamu dianggarkan seramai 500 orang. Majlis juga dibuat secara sederhana dalam dewan," katanya.
Fazley dan Azrene berkahwin pada 7 November 2006 dan dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, dan Ahmad Fierudz, 7 dan Alayna Salma, lapan bulan.