Elvina Mohamad mahu bakal anak hidup sederhana


Pelakon Datin Elvina Mohamad, 23, yang sedang hamil anak sulung memilih untuk tidak terlalu memanjakan anaknya dengan kekayaan kelak.

Walaupun menikmati kehidupan senang bersama suami Datuk Haniff Borhan, namun dia memilih untuk membesarkan cahaya mata pertama mereka secara sederhana.

“Pada saya, biarlah dia hidup dan membesar secara selesa.

“Memanglah saya akan tatang bagai minyak yang penuh kerana ini adalah cahaya mata pertama, tapi bukanlah bererti kami akan manjakan dengan kemewahan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu, dia tidak akan menyembunyikan berita kelahiran anaknya yang dijangka lahir pada penghujung Disember ini.





“Insya-Allah, saya akan kongsikan dengan semua bila saya bersalin nanti,” katanya.

Elvina bagaimanapun tidak akan mewujudkan akaun Instagram untuk anaknya seperti dilakukan ramai artis mahupun selebriti lain.

“Bagaimanapun, saya akan kongsikan kisah anak dengan peminat-peminat, tapi rasanya saya dan suami tak akan wujudkan akaun Instagram khas untuknya.

“Biarlah dia membesar seperti kanak-kanak lain dan kami tak mahu tempias populariti berlebihan kepadanya,” katanya.

Kini, usia kandungan Elvina mencecah 24 minggu.

Post a Comment

Previous Post Next Post