Tanggungjawab sebagai penyanyi dan pencipta lagu semestinya meluaskan lagi skop kerja anak seni.
Kadangkala, kerja-kerja penghasilan lagu lebih banyak difokuskan untuk artis lain berbanding diri sendiri.
Dilema itulah yang dihadapi jejaka kelahiran Singapura, Alif.
“Bukanlah tidak ada lagu untuk diri sendiri tetapi kebanyakan lagu yang saya hasilkan sesuai untuk penyanyi lain.
“Terbaru, lagu Sibuk yang saya hasilkan diberikan kepada Kaka untuk dijadikan single baru,” katanya.
Menurut bekas anggota Sleeq itu, tiada istilah terkilan sebaliknya itu dianggap rezeki rakan karibnya.
“Awalnya, saya cuma mahu dia dengar dan berikan interpretasi sendiri terhadap lagu ini. Tak sangka pula bila dia nyanyikan, lagu ini menjadi ‘miliknya’.
Saya gembira dan langsung tidak terkilan,” katanya.
Berikutan Sibuk sesuai dengan suara Kaka, Alif membatalkan niatnya memuatkan lagu itu dalam albumnya.
Tidak menyanyi secara solo, Kaka turut menampilkan Alif untuk melengkapkan bahagian rap pada lagu itu.
Selain itu, Alif juga menantikan waktu sesuai untuk melancarkan buah tangan terbaru yang khabarnya penuh kejutan.
“Saya masih menantikan kehadiran album penuh hasil kolaborasi dengan seorang rakan artis.
“Siapakah artis itu dan bagaimana konsep album itu nanti, biarlah dirahsiakan dahulu.
Selain menyanyi, saya cipta semua lagunya dan bertindak sebagai penerbit,” katanya.
Mengulas lanjut perkembangan kerjayanya, Alif berkata album solonya akan menemui peminat tahun depan.
“Saya bekerja keras ke arah itu. Namun, saya perlukan masa untuk susun satu persatu projek saya.
“Kalau boleh saya tidak mahu ada banyak kerja dalam satu masa. Jadi, biarlah ia mengikut arus dan sampai masa saya akan tampil dengan album solo.
“Apa yang boleh saya kongsi setakat ini, mungkin ia dalam bentuk kompilasi single saya terdahulu,” katanya.