
Pelakon dan pengacara yang sedang meningkat naik, Ain Edruce mengakui pada masa kini jumlah pengikut di media sosial memain peranan penting dalam menentukan tahap populariti seseorang selebriti.
Apatah lagi apabila ada sesetengah pihak menjadikan ia sebagai ukuran dalam memberikan tawaran kerja kepada seseorang selebriti itu.
“Saya tidak menafikan jumlah pengikut di media sosial kini sangat penting buat seseorang artis terutamanya bagi mereka yang masih baru membina nama.
“Namun saya sering mengingatkan diri saya agar tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk meraih populariti murahan semata-mata untuk mudah dikenali.
“Saya lebih suka jadikan laman sosial terutamanya Instagram sebagai profil kerja saya supaya senang orang nak tengok atau rujuk selain mengikuti perkembangan terkini kerjaya seni saya, ” ujarnya yang kini mempunyai 282 ribu pengikut di laman Instagram.
Tambah pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini lagi, kalau bukan tentang kerja sekalipun, dia tetap akan memastikan apa yang dikongsikan di media sosial miliknya itu tidak menjurus ke arah sesuatu yang negatif kerana menyedari kebanyakan pengikut saya di laman sosial terdiri daripada golongan remaja.
“Pengikut laman sosial saya, bukan hanya terdiri daripada peminat sahaja, tetapi juga diikuti oleh rakan-rakan serta keluarga saya sendiri termasuk kedua ibu bapa yang sering memantau apa yang saya lakukan.
“Kalau ada benda yang tidak kena atau menjurus kepada sesuatu yang boleh mengundang tanggapan negatif, ibu akan terus tegur dan menasihati saya.
“Malah sebelum ini ibu turut mempunyai password Instagram saya membuatkan dia boleh menapis semua mesej-mesej di situ,” kata Ain lagi.
Pelakon tinggi lampai yang juga aktif dalam bidang pengacaraan ini percaya kejayaan tidak akan datang dengan jalan mudah, sebaliknya menerusi bakat dan usaha berterusan.
“Persaingan itu ada di mana-mana meski apapun bidang yang kita ceburi. Apa yang penting kita buat dengan cara yang betul meski perlu mengambil sedikit masa,” kata Ain.