Yuna, suami sambut raya pertama di lapangan terbang Jepun


Yuna dan Adam

Pertama kali menyambut lebaran bersama suami, Adam Sinclair, penyanyi Yuna berkongsi pengalaman beraya di lapangan terbang di Jepun sewaktu transit dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, 32, berkata, dia berasa sedikit ralat kerana pertama kali beraya sebagai suami isteri terpaksa menghabiskan 1 Syawal di perantauan.

"Sedih juga kerana orang lain sedang bersama keluarga tersayang di kampung tercinta, saya dan suami berdua di lapangan terbang Jepun (transit) untuk pulang ke Kuala Lumpur.

"Tengok gambar orang lain di Instagram rasa cemburu jugalah namun apa boleh buat. Ketika itu, minum kopi sahajalah sedangkan orang lain sudah di kampung menikmati juadah raya," kata Yuna ketika ditemui pada majlis pelancaran filem pendek Wanita Besi Pantene di ibu negara sebentar tadi.

Bagaimanapun, ujar pelantun lagu Dan Sebenarnya itu, dia berpeluang beraya di kampung belah mertua dan keluarganya pada hari raya berikutnya apabila sampai di tanah air.





"Alhamdulillah, dapat beraya bersama belah suami di Shah Alam, Selangor. Kemudian dapat juga membawa suami beraya di Sayong dan Batu Gajah di Perak.

"Pertama kali Adam merasai pengalaman beraya di kampung dan kali ini bersama saya. Sempat juga kami bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah pada raya kelima dan keenam," ujarnya.

Sementara itu, ditanya berkenaan kesediaannya untuk bergelar ibu, Yuna berkata, dia menyerahkan kepada rezeki sementara terus fokus kepada kerjayanya sebagai penyanyi di Amerika Syarikat.

"Buat masa sekarang, saya mengutamakan kerjaya dahulu. Kalau ada rezeki, Insya-Allah," tuturnya ringkas.

Yuna dan Adam berkahwin pada 26 Januari lalu di Bentong, Pahang.



Post a Comment

Previous Post Next Post