
Pelantun lagu Sampai Ke Hari Tua, Aizat Amdan bakal berduet sebagai penyanyi undangan menerusi konsert ulung Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun depan.
Aizat, 27, menyifatkan peluang tersebut merupakan satu penghargaan buat dirinya kerana dia juga meminati lagu-lagu dendangan kumpulan dari Indonesia itu.
Bagaimanapun, lagu yang bakal dipersembahkan masih dirahsiakan dan akan dinyanyikan pada konsert yang bermula pada pukul 8 malam di KL Live Centre di sini.
Selain Aizat, kumpulan Pitahati dan pemain drum cilik, Amira Syahira turut diundang bagi memeriahkan konsert tersebut.
Amira bakal bergandingan bersama Yoyo Prasetyo yang juga pemain drum terbaik Nusantara dari Padi Reborn.
Pihak penganjur turut berbesar hati menawarkan harga promosi bagi peminat Padi Reborn untuk mendapatkan tiket konsert yang dianjurkan QewCommunications Sdn. Bhd. itu.
Harga tiket platinum dijual pada harga RM169 manakala tiket Meet and Greet boleh didapati pada harga RM275.
Bagi mereka yang membeli dua tiket platinum akan diberi harga promosi RM299 untuk sepasang tiket.
Para pelajar yang berminat untuk menonton konsert itu pula boleh menghubungi pihak Qew Communications Sdn. Bhd. di talian 013-4626891 (Sha) dan 012-9545434 (Iza) untuk mendapat tiket pelajar pada harga RM130 dibawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Malah, pihak penganjur juga mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan tempatan seperti SOG, Margosa, Kapow, Oceanlights dan Pesawat yang akan muncul dalam acara Sundaze Pre Party Of Padi Reborn Exclusive In KL pada Ahad ini di The Bee Publika bermula pukul 3 petang.