Sherry Al Hadad sambut raya di Kuala Lumpur


Jika rakan-rakan lain pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, berbeza pula dengan pelakon, pelawak dan pengacara paling popular, Sherry AlHadad yang memilih untuk beraya di ibu kota pada tahun ini.

Menurut Sherry, selalunya mereka sekeluarga akan pulang ke Sarawak untuk beraya bersama keluarga dan saudara-mara sebelah ibunya yang berasal dari sana.

Namun disebabkan mereka sudah membuat perancangan awal untuk pulang pada Ogos depan, Aidilfitri kali ini hanya diraikan di Kuala Lumpur.

“Kalau diikutkan, tiada apa sangat pun yang berbeza kerana di sini pun kami mempunyai ramai kawan-kawan dan saudara-mara.

“Disebabkan ibu yang paling tua, rumah kami selalunya jadi tumpuan saudara-mara untuk datang menziarah dan beraya dengan ibu.

“Rutin raya kami di sini sama sahaja dengan raya di Sarawak, cuma yang extra vaganzanya kat sana ada semua adik-beradik ibu selain saudara maranya yang sangat ramai tu. Jadi memang meriah habislah kalau balik sana,” jelas Sherry.

Meskipun sibuk dengan jadual kerjanya yang begitu padat, kata Sherry, dia tetap mencari kesempatan untuk menemani ibunya untuk keluar membeli belah kelengkapan raya.

Berkongsi rezeki dengan ibu yang sentiasa menyokong jatuh bangunnya selama ini, Sherry sebolehnya cuba memenuhi apa sahaja permintaan ibunya.






“Saya kerja kuat selama ini pun semata-mata kerana ibu, jadi rezeki semestinya rezeki yang saya perolehi ini akan digunakan untuk menggembirakan hati ibu.

“Paling penting saya selalunya akan siapkan baju raya untuk ibu dulu selain persiapan raya yang lain terutamanya barangan untuk penyediaan juadah raya.

“Namun tahun ini, ibu minta extra sikit, tiba-tiba dia mintak tukar sofa baru dan mungkin ada barang-barang rumah yang lain akan menyusul untuk ditukar selepas ini,” kongsi sambil ketawa.

Bercerita tentang persiapan untuk dirinya sendiri, kata pelakon yang bakal tampil dalam drama Misteri Wan peah Raya ini, dia seorang yang sangat ringkas dan tidak terlalu beria membuat persiapan raya.

“Baik sebelum atau selepas dikenali, saya memang seoarang yang sangat simple. Tak kisah sangat dengan persiapan raya yang beria-ia sangat kerana lebih selesa untuk bergaya ringkas.

“Tahun ini saya hanya sediakan tiga pasang baju raya sahaja, itupun dari label sendiri menerusi kolaborasi Asyikin Eksklusif.

“Bagi saya meriahnya raya itu bila kita dapat beraya dengan keluarga, saudara-mara serta rakan taulan, dan bukan disebabkan benda-benda lain,” tegasnya.

Justeru setiap kali raya, Sherry sebolehnya mahu meluangkan masa sebanyak yang mampu utuk untuk beraya dengan mereka yang dekat mahupun jauh dengannya.

Sama ada beraya di Kuala Lumpur mahupun Sarawak, rutin tersebut tetap menjadi keutamaannya sejak dulu lagi.

“Disebabkan tahun ini tak balik Sarawak, saya akan beraya dengan kawan-kawan yang ada di sini. Selalunya pada raya pertama semua orang akan sibuk dengan keluarga masing-masing, jadi kami akan rancang untuk beraya pada hari-hari selepasnya.

“Kalau kat Sarawak pula, saya selalunya akan ikut rakan-rakan kat sana pergi beraya. Kadang-kadang itu selamba sahaja raya kat rumah kawan kepada kawan-kawan yang saya sebenarnya tak kenal pun mereka,” cerita Sherry muncul dalam beberapa program raya pada tahun ini termasuk Muzik Muzik Raya, Melodi Raya, Drop The Beat Raya dan The Sherry Show Raya.

Post a Comment

Previous Post Next Post