Sesi ramah mesra artis Warner Music, Andi Bernadee dan Roy Ricardo untuk Raya 2018 di Menara TSR di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Selepas nama penyanyi baharu, Andi Bernadee popular dengan lagu saduran Tak Tun Tuang tahun lalu, kali ini dia kembali dengan single ketiga bertajuk Semalam Sahur Di Mana sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang lalu.
Masih mengekalkan konsep saduran untuk lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Indonesia, Roy Ricardo pada 2014, Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile memberitahu, dia menganggap ia satu rezeki yang diberikan Allah SWT untuknya.
Tidak kisah dikatakan menumpang populariti lagu asal Sahur Di Mana, Andi berkata, biarpun menyanyikan semula lagu tersebut dia melakukannya dengan cara sendiri dan tidak meniru melodi asal 100 peratus.
“Susunan muzik asal Sahur Di Mana berentak EDM, jadi ia tidak begitu sesuai dengan persekitaran muzik Malaysia, maka ia diberi nafas baharu oleh komposer Ikhwan dan liriknya diolah sedikit oleh Omar K.
“Biarpun muziknya sedikit berubah, saya tetap mengekalkan identiti penyanyi asal iaitu Roy Ricardo secara keseluruhan kerana saya menghormatinya selaku pencipta asal lagu ini,” jelasnya ketika ditemui pada sesi ramah mesra di Warner Music, Petaling Jaya semalam.
Tambah Andi, menerusi Semalam Sahur Di Mana, dia perlu belajar untuk menyanyi rap yang merupakan suatu perkara yang janggal bagi dirinya yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
“Agak susah untuk menyanyi rap kerana saya seorang penyanyi balada, namun alhamdulillah, lirik-lirik yang dicipta Omar K tidak begitu susah dan saya cuba berikan yang terbaik buat peminat,”jelasnya lagi.
Bangga
Sementara itu, bagi Roy pula, dia melihat inisiatif pihak Warner Music memberi wajah baharu buat lagunya adalah langkah yang bagus dan rasa bangga kerana karyanya dikembangkan ke Malaysia.
Bercerita sedikit tentang penciptaan lagu tersebut, Roy yang bukan beragama Islam memberitahu, dia mendapat inspirasi mencipta Sahur Di Mana kerana banyak menghabiskan masa menemani rakan-rakan Muslim di Indonesia.
Tambah Roy, dia gembira kerana lagu tersebut diterima baik di Indonesia dan berharap perkara sama akan berulang menerusi Andi dengan peminat di Malaysia pula.
“Andi seorang penyanyi yang berbakat dan apabila mendengar versi baharu Semalam Sahur Di Mana, saya menyukainya walaupun ia sedikit berbeza dengan lagu asal tetapi saya memahami bahawa cita rasa muzik di sini tidak sama dengan negara saya.
“Semoga Semalam Sahur Di Mana dapat mengulang kejayaannya empat tahun lalu dan akan menjadi antara lagu wajib putar setiap kali bulan Ramadan tiba saban tahun,” katanya lagi.