Geram apabila menjadi mangsa akaun palsu Facebook yang menggunakan nama dan wajahnya, pelakon dan penyanyi, Izzue Islam akhirnya membuat laporan polis berhubung kes berkenaan di Balai Polis Sungai Buloh, kelmarin.
Berita tersebut dikongsi Izzue, 28, menerusi akaun Instagram miliknya. Menurut perkongsian berkenaan, Izzue turut menasihatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa akaun palsu turut membuat laporan polis.
“Berkenaan dengan kes penipuan yang melibatkan akaun palsu Facebook menggunakan muka dan nama saya tempoh hari, laporan polis telah pun dibuat. Saya sarankan mereka yang terlibat pergilah buat laporan polis juga supaya kes ini boleh diselesaikan dengan cepat.
“Nak ingatkan juga kepada pengguna laman sosial, jangan cepat terpedaya dengan akaun palsu tambah-tambah lagi yang melibatkan duit dan maruah. Cek betul-betul sebelum berurusan,” tulisnya.
Terdahulu, menerusi perkongsian yang dibuat oleh pelakon Patahnya Sebelah Sayap pada minggu lalu, Izzue pernah mengingatkan semua peminatnya agar tidak mengikuti laman Facebook palsu tersebut.
“Minta jasa baik semua untuk bagi tahu dekat rakan-rakan atau ahli keluarga yang mungkin mengikuti atau suka laman Facebook Izzue Islam yang palsu.
“Kalau dicari dekat Facebook nama Izzue Islam memang berlambak akaun palsu dan rata-rata mempunyai ratusan ribu pengikut. Baru-baru ini ada orang telah ditipu menggunakan nama dan muka saya dan telah rugi sehingga ribuan ringgit!
“Tujuan posting ini agar anda semua tidak keliru dan supaya tidak ada lagi kes penipuan yang melibatkan nama saya,” tulis Izzue lagi.