Rozita Che Wan pernah digam kerana sokong Tun M, kumpul wang untuk THM


Pelakon Rozita Che Wan menyokong tindakan kerajaan mengumumkan Tabung Harapan Malaysia (THM) untuk membolehkan rakyat memberikan sumbangan ke arah menangani hutang negara.

Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 45, berkata, dia sendiri bersama ahli keluarganya sedang mengumpul wang untuk didermakan kepada tabung itu.

"Sumbangan yang dibuat saya dan keluarga adalah tanda sokongan kepada kerajaan dalam menangani hutang negara.

"Ia bukanlah paksaan tetapi bayangkan jika seorang mendermakan RM10 pasti jumlahnya (kalau tidak semua) sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hutang ditanggung kerajaan.

"Kita pegang begini sahajalah, satu kita bagi Allah akan gantikan berganda kebaikan yang lain," katanya.


Che Ta sekeluarga menyokong kewujudan Tabung Harapan Malaysia (THM).

Che Ta ditemui pada majlis berbuka puasa artis naungan Indigital Sdn Bhd dan LOL Entertainment bersama anak yatim pada Khamis.

Setakat pukul tiga petang Khamis, Menteri kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kutipan derma THM sudah mencecah sebanyak RM7,075,508.79 dalam tempoh kurang 24 jam tabung ini dilancar oleh kerajaan.

Mengulas mengenai pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun, Che Ta berkata, ia adalah berita menggembirakan terutamanya kepada usahawan sepertinya.

Che Ta berkata, GST bukan sahaja membebankan usahawan seperti dia malah ia turut melibatkan pengguna akhir dalam pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Bagi saya ia berita yang sangat melegakan... bukan saya sahaja malah saya yakin semua ahli perniagaan khususnya menyambut baik berita tersebut," jelasnya.






Barisan selebriti yang memeriahkan acara berbuka puasa anjuran Indigital Sdn Bhd dan LOL Entertainment.

Sementara itu, Che Ta berkata, dia bersyukur kerana perubahan tampuk kepimpinan kerajaan dapat memberinya lebin ruang dan hak bersuara.

Malah dia menyambut baik pelawaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk bertemu dengan anak seni minggu hadapan bagi membincangkan isu mengenai industri seni.

"Sebelum ini saya pernah dipulaukan oleh agensi kerajaan hanya kerana saya memuat naik gambar dan ucapan hari jadi kepada Dr. Mahathir di Instagram.

"Sejak tiga tahun lalu ramai tidak tahu yang saya digam selain terpaksa melalui pelbagai pengalaman pahit setiap kali terpaksa berurusan dengan agensi kerajaan.

"Alhamdulillah perubahan ini nampaknya memberi sinar positif terutamanya kepada anak seni dan pertemuaan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama anak seni adalah permulaan baik," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post