Remy Ishak belum sedia kahwin


Tahun lalu, pelakon berbakat besar, Remy Ishak pernah memberitahu, dia akan menetapkan tarikh perkahwinannya selepas tayangan filem lakonannya, Pulang.

Filem yang menyaksikan gandingan pertama Remy bersama Puteri Aishah dan diarahkan oleh Kabir Bhatia ini dijangka akan menemui penonton di seluruh pawagam pada 26 Julai 2018.

Justeru ketika penulis bertemu dengan Remy di majlis Previu Media Program Syawal Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima baru-baru ini, persoalan sama diaju kembali kepada lelaki berusia 36 tahun ini.

“Saya masih belum menetapkan tarikh kahwin. Sebenarnya saya plan bertunang untuk tempoh dua tahun.

"Buat masa ini, masing-masing belum sedia untuk berumah tangga.

"Bukan saya tak mengambil serius hal perkahwinan, tapi kami masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Malah saya rasa buat masa ini saya tak boleh komited nak pegang peranan sebagai suami disebabkan kesibukan kerja dan saya rasa ada banyak benda yang saya tak capai lagi untuk membolehkan saya jaga anak orang,” katanya.





Sebelum ini, Remy mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Ezza Yusof, 35, pada 1 Mei 2017.

Tambah Remy, tempoh pertunangan ini digunakan sebaik mungkin untuk lebih mengenali pasangan.

Mengakui melalui badai sama seperti pasangan lain, dia bagaimanapun menganggap segala ujian yang datang sebagai perkara yang perlu dilalui sebelum berkahwin.

"Kalau masa bertunang pun tak boleh nak lepas dugaan dan cabaran, bagaimana pula bila sudah berkahwin nanti kan?

"Bagi saya, bila kami berdua dah betul-betul bersedia, baru kami akan melangkah ke fasa seterusnya. Saya bagi masa dan ruang untuk dia lebih mengenali diri saya dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, Remy kini sedang sibuk dalam set penggambaran filem terbaharu berjudul Sangkar.

Filem berkenaan menyaksikan Remy membawakan watak seorang petinju MMA yang turut menampilkan aktor popular, Zul Ariffin.

Untuk filem berkenaan, Remy memberitahu dia terpaksa menaikkan berat badannya kepada 82kilogram berbanding 73kilogram sebelum ini untuk tuntutan watak tersebut.

“Setakat ini sudah 18 hari saya jalani penggambaran untuk filem Sangkar. Antara cabaran dalam filem ini, saya perlu menaikkan berat badan untuk watak sebagai petinju MMA. Saya banyak berlawan dengan Zul menerusi filem ini.

“Terbaharu, saya juga bakal tampil dengan filem Pulang yang akan ditayangkan pada bulan Julai ini. Selepas raya, saya akan kembali sibuk dengan rangka promosi Pulang,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post