Meskipun baru-baru ini penyanyi Ziana Zain berdepan ujian dalam rumah tangganya, persiapan dan sambutan Aidilfitri untuk anak-anak dan keluarganya berlangsung seperti biasa.
Tidak mahu menjadikan apa yang berlaku itu sebagai satu yang membeban, Ziana mengakui bertuah kerana mempunyai keluarga yang ramai dan sentiasa riuh rendah menjadikan hidup mereka sentiasa meriah.
Ibu kepada Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 15, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9, ini turut menyifatkan dirinya beruntung apabila anak-anak tidak cerewet, malah sentiasa bersederhana dalam membuat persiapan..
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya beruntung kerana anak-anak semuanya jenis yang tidak cerewet dan hanya mahu apa yang menjadi keperluan mereka sahaja.
“Memang sejak kecil lagi saya sentiasa didik mereka untuk sentiasa besederhana tidak kiralah dalam apa pun termasuk sambutan hari raya.
“Anak saya yang sulung, Aiman, setiap kali hendak membeli sesuatu mesti akan tanya saya dulu sama ada saya ada bajet atau tidak, selain mengingatkan saya agar tidak membazir,” kata Ziana yang turut mendapat beberapa tajaan baju raya daripada pereka tempatan.
Berkongsi tentang perancangan rayanya pada tahun ini, kata Ziana, dia bercadang untuk membawa anak-anak bercuti.
Meskipun belum menetapkan lokasi pilihan, Ziana mengharapkan agar perancangan tersebut menjadi kenyataan memandangkan permintaan itu telah lama dibuat anak-anaknya.
“Insya-ALLAH selepas beraya dengan keluarga, saya akan bawa anak-anak bercuti.
“Dah lama mereka ajak bercuti, tetapi sebelum ini masa saya tidak begitu mengizinkan kerana terikat dengan pelbagai komitmen kerja,” jelasnya.
Bercerita tentang sambutan rayanya bersama keluarga, kata Ziana, ia sentiasa menjadi perkara yang paling manis dalam hidupnya baik dari dulu sehingga kini.
Malah sambutan rayanya dan keluarga sentiasa meriah setiap tahun kerana masing-masing suka berkumpul bersama keluarga meskipun sudah berumahtangga.
“Bila berkumpul adik-beradik ni, momen yang paling ditunggukan mestilah ketika sesi bermaaf-maafan dengan anak dan mak.
“Kalau dulu, kami sesama adik beradik sahaja, sekarang dengan anak masing-masing yang tentunya lebih menggamatkan suasana.
“Alhamdulillah, kami masih lagi merasai kemeriahan raya yang dilalui seperti mana kami kecik-kecil dulu,” ujar Ziana yang menggemari juadah rendang dah kuah kacang ini.