Publisiti - Biarpun dihenyak dengan beberapa siri kontroversi, Elfira tidak pernah menganggap ia sebagai bantuan publisiti demi menaikkan namanya, sebaliknya mahu karier berjalan dengan bersih.
Sejaak kebelakangan ini nama pelakon Elfira Loy kerap dikaitkan dengan berita sensasi. Semuanya bermula selepas kisah putus tunang bersama penyanyi Sufian Suhaimi yang berlarutan membabitkan keluarga.
Rentetan daripada kisah kasih tidak kesampaian tersebut, namanya terus menjadi tumpuan apabila kerap dikaitkan dengan beberapa siri kontroversi seperti isu ubat peninggi diri.
Berkesempatan bertemu pemilik nama lengkap Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu pada sebuah majlis di ibu kota baru-baru ini digunakan sebaiknya mendapatkan penjelasan daripada empunya badan.
Deretan kontroversi yang singgah dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini termasuklah dakwaan daripada segelintir pihak yang mengatakan dia sebagai orang ketiga dalam keretakan rumah tangga Nazim Othman dan Bella Dally, dilalui dengan tenang.
Ini jawapan ringkas yang diberikan Elfira tentang tuduhan tidak berasas itu: “Saya kenal mereka berdua sejak kecil lagi dan begitu rapat dengan kedua-duanya. Hubungan saya sendiri pun runtuh, takkan mahu meruntuhkan orang lain pula.”
Alah bisa tegal biasa, dia tidak memandang segala perkara buruk yang terjadi sebelum ini mampu menjatuhkan semangatnya meneruskan langkah.
Sebaliknya, pelakon drama Dalam Hati Ada Taman itu memandang ia sebagai cabaran dalam kehidupan yang tidak dapat dielak, sekali gus mengajar diri sendiri untuk memperbaiki kelemahan.
“Kalau orang mahu jatuhkan kita, itu bermakna kedudukan kita di atas, bukannya bawah. Kalau berlaku apa-apa, ibu sendiri menyalahkan saya, bukannya orang di luar sana.
“Teguran ibu selalunya terpercik ke muka sendiri apabila dia sering berkata, mungkin kerana saya sering melengah-lengahkan solat, misalnya. Jadi saya sedar bahawa setiap perkara yang terjadi kepada kita adalah refleks daripada tindakan diri sendiri,” katanya.
Pengalaman
Akui Elfira, ini kali pertama hidupnya bercampur-aduk dengan banyak perkara yang menjejaskan reputasi memandangkan selama ini, dia sentiasa mahu memastikan perjalanan dan namanya bersih daripada sebarang perkara tidak elok.
Seboleh-bolehnya, dia mahu imej yang dibawa selama 11 tahun berkecimpung dalam industri hiburan kekal terjaga kerana peranannya bukan sekadar dalam bidang lakonan, malah lebih daripada itu apabila kerap dijemput dalam pelbagai acara ceramah motivasi.
“Jujur saya katakan, ini merupakan pengalaman baharu dalam hidup apabila berdepan dengan kontroversi yang berpanjangan dan saya akui tidak biasa dengan keadaan ini.
“Kalau boleh saya mahu elak semua perkara sebegini daripada terjadi kerana reputasi diri perlu dijaga. Andai kata perkara ini berlarutan, saya juga gusar apakah orang akan percaya dengan apa mereka terima daripada saya dalam mana-mana acara.
“Sebab itu, pendekatan yang saya ambil sekarang adalah membiarkan segalanya berlalu tanpa perlu membuka mulut. Saya sedar bahawa semakin kita cuba bercakap benar, perkara itu akhirnya akan menjadi salah sendiri,” ulasnya panjang.
Tambah Elfira lagi, dia menyedari segala yang berlaku dalam ruang kehidupan manusia pada zaman sekarang turut menerima pengaruh kuat daripada penggunaan media sosial yang menjadi perkara ruji dalam hidup sesetengah orang.
Menjadi selebriti dan tatapan umum, dia sedar peranannya untuk tidak terlalu mengikut arus demi ‘menjaga diri’ daripada termakan cacian dan kritikan yang tidak pernah memulangkan keuntungan.
“Orang yang berada di belakang media sosial (peminat) dengan diri kita yang berdiri di hadapan (artis) mempunyai pemikiran yang sangat berbeza kerana mereka ada sifat ingin tahu terhadap sesuatu perkara.
“Saya sedar manusia yang menggunakan media sosial ada dua kemungkinan. Sama ada tindakan mereka kerana berasakan diri benar atau sekadar mahu melihat reaksi si penerima.
“Jadi, tidak salah kalau sekali-sekala saya ‘melayan’ kehendak mereka sebab selalunya keputusan yang saya dapat seperti yang dijangka. Ternyata ia sekadar mahu mendapat perhatian sebab akhirnya mereka secara peribadi datang meminta maaf,” katanya bersungguh.
Rutin raya
Beralih tentang rutin sambutan Ramadannya kali ini, Elfira yang sememangnya tidak begitu aktif dengan aktiviti seni sebelum ini mengambil peluang untuk fokus terhadap perniagaan.
“Saya sangat relaks sepanjang bulan puasa tahun ini kerana tidak terikat dengan karier lakonan. Sebelum ini pun saya memang agak terhadkan lakonan, jadi sama sahaja untuk bulan puasa.
“Jadi saya fokuskan terhadap perniagaan baju El by Elfira Loy selain kafe Love Me Sevendays Cafe sedang dinaik taraf dari segi menu dengan melebihkan makanan Barat seperti pasta,” kata Elfira yang bakal muncul dengan sebuah telemovie berjudul Striker Hati Ayah sempena hari raya nanti.
Selain cerita Ramadan, Elfira sempat berkongsi tentang persediaannya menyambut hari raya yang bakal diraikan sekitar dua minggu lagi.
Elfira akan pulang beraya ke kampung halaman di Kedah sebelum melakukan rutin yang saban tahun dilakukannya bersama keluarga iaitu pergi bercuti.
“Raya tahun ini kemeriahannya biasa sahaja dan tidak seperti tahun sebelumnya kerana arwah datuk sudah tiada. Tetapi kami tetap balik kampung memandangkan nenek masih ada dan kepulangan ini adalah untuk menggembirakan dia.
“Cuma saya tidak sabar untuk bercuti kerana setiap tahun memang ia menjadi amalan dalam keluarga. Setakat ini belum terfikir lagi destinasi mana mahu dituju,” ujarnya yang akan mula bercuti seminggu selepas sambutan hari raya.
Kerap menjadi kecaman netizen dalam beberapa siri kontroversi sebelum ini, Elfira Loy menyifatkan segala yang berlaku sebagai pengalaman dan cabaran yang mengajarnya untuk mengenali diri.