Pelaon baharu Mia Nasir memberitahu dia menceburkan diri dalam bidang lakonan bukan untuk bersaing dengan adik-beradiknya yang lain iaitu Anzalna dan Afifah.
Mia, 27, berkata, apa yang dia lakukan adalah sekadar meneruskan minat terhadap bidang seni yang sudah diasah sejak di bangku sekolah lagi.
"Saya masuk bidang lakonan bukan terikut-ikut Anzalna atau Afifah untuk jadi pelakon tapi saya hanya meneruskan minat saya dalam seni lakonan.
"Dahulu ketika di sekolah saya aktif dengan teater dan persembahan. Saya rasa selesa dan suka beraksi apabila di hadapan kamera," ujarnya.
Mia (dua dari kanan) bersama adik beradiknya yang lain termasuk Anzalna dan Afifah.
Mia berkata dia tidak pernah berasa cemburu terhadap pencapaian Anzalna dan Afifah yang dilihat lebih menyerlah.
Katanya, tawaran yang datang sama ada banyak atau tidak adalah rezeki masing-masing.
"Saya tidak bersaing dengan mereka, kalau mereka dapat tawaran, itu rezeki mereka saya tidak pernah mempersoalkannya.
"Apa yang saya buat pun sebab minat sahaja," ujarnya.
Mia pernah terlibat dalam beberapa drama termasuk Dendam Aurora dan Lara Aishah.
Tambahnya, dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuh filem berjudul Bikin Filem.
Filem berkenaan turut dilakonkan oleh Erra Fazira, Scha Alyahya, Sharifah Sakinah dan Mark Adam.