Mel alami masalah pertuturan


“Saya semakin pulih dari penyakit strok. Cuma untuk pulih sepenuhnya memang susah kerana pasti meninggalkan kesan kekal.

“Contohnya agak susah untuk bertutur dan kalau bercakap laju, memang akan terbabas.

“Saya sukar sebut huruf R, L dan S. Saya kini sentiasa berurut dan melakukan senaman untuk menjaga kesihatan. Paling penting pemakanan perlu dijaga betul-betul”.

Demikian kata penyanyi Mel berkongsi tahap kesihatan terkininya kepada umum.

Mel atau Ismail Zainuddin, 52, diserang strok awal Disember 2014 dan dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Mel berkata, kesihatannya pulih 95 peratus dan kini bergantung pada ubat-ubatan bagi memastikan kesihatannya stabil.

“Saya tidak dibenar makan sayuran hijau disebabkan menghidap Atrial Fibrillation atau dikenali AF.

“Rentak degup jantung tidak normal atau aritmia menyebabkannya perlu dibendung dengan pengambilan sejenis ubat khas.

“Harganya boleh dikatakan agak mahal tetapi mujur saya dapat pada harga sederhana. Apapun pengambilan ubat sahaja tidak bermakna jika tidur tidak tentu masa, tidak jaga makan dan kurang bersenam,” katanya.

Mel pernah bergelar vokalis kumpulan Wings mengakui dirinya masih aktif dalam seni dan mengadakan persembahan.





“Bagaimanapun, tawaran semakin kurang berbanding dahulu. Saya banyak dipanggil untuk program tazkirah, persembahan santai dan motivasi.

“Saya turut diundang berkongsi pengalaman bercerita mengenai strok dideritai sebelum ini dan cara-cara pemulihan.

“Maknanya, ia juga sumber rezeki. Saya yakin dengan Allah biarpun jumlah tidak banyak seperti dulu,” katanya.

Mel baru selesai menghasilkan album diterbitkan bersama rakan-rakan artis hijrah lain antaranya Iwan Syahman, Ali XPDC, Ija Medicine, Zul Handy Black, Zul Yahya dan Syed Nahar.

“Album berjudul Daie itu memuatkan nyanyian kami semua. Alhamdulillah sambutan diberikan peminat sangat menggalakkan.

“Lagipun cara penjualannya dibuat secara terus kepada peminat setiap kali kami buat persembahan dan nampaknya ia lebih disukai berbanding dijual di kedai.

“Jika kena cara, saya boleh jual sebanyak 50 keping cakera sehari. Cuma semuanya bergantung kepada kerajinan sendiri,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post