Lisa Surihani, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim saling melengkapi


Biarpun tinggal seminggu lagi umat Islam bakal meraikan Aidilfitri, pasangan selebriti popular, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim masih belum membuat persiapan raya. Semuanya gara-gara kesibukan pasangan tersebut yang terlibat dalam Konsert Gergasi KRU25 yang melabuhkan tirainya pada 6 Mei lalu.

Dalam konsert terakhir KRU yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur itu, Lisa bertindak selaku penerbit, manakala Yusry sebagai penyanyi.

Menurut Lisa, 33, yang ditemui pada pratonton program Raya Astro baru-baru ini, kebiasaannya persiapan raya seperti pakaian telah disiapkan sebelum Ramadan, namun tahun ini berbeza.

“Biasanya memang saya telah melakukan persiapan raya sebelum bulan Ramadan dengan menempah pakaian pereka fesyen, tetapi tahun ini berbeza. Disebabkan, sibuk dengan Konsert Gergasi KRU25 saya langsung tidak melakukan sebarang persiapan.

“Sedar-sedar sudah masuk bulan Ramadan. Namun, saya bersyukur sekarang semuanya mudah. Saya akan membeli pakaian menerusi online sahaja. Banyak pilihan dan menjimatkan masa,” kata Lisa sambil ditemani Yusry.

Lebih berbeza, sepanjang enam tahun berumah tangga, buat pertama kalinya Lisa memberi kebenaran kepada Yusry untuk menentukan warna pakaian mereka sekeluarga.

“Biasanya saya yang siapkan semua dan kami sekeluarga akan ada tiga persalinan pakaian. Tetapi tahun ini saya benarkan Yusry buat pilihan warna pakaian. Walaupun Yusry sama seperti lelaki lain yang tidak kisah untuk pakai apa sahaja di pagi raya, saya mahu bersikap adil dan membenarkan dia memilih warna.

“Saya menyukai warna-warna pastel tetapi Yusry memilih semua warna maskulin seperti biru, hitam dan kelabu. Saya tidak boleh menentang, sebaliknya harus bersetuju dengan warna pilihannya.

“Hal ini kerana sebelum ini setiap tahun saya memilih warna pastel termasuk merah jambu dan Yusry hanya mengikut pilihan saya walaupun hakikat sebenarnya dia lebih suka pada warna-warna yang terang,” kata Lisa dalam tawa.

Berbicara soal Aidilfitri, tahun ini merupakan tahun terakhir mereka sekeluarga akan meraikannya bersama keluarga Edry. Selepas sambutan Aidilfitri, Edry sekeluarga akan berhijrah ke England demi masa depan anak ketiganya, Emery yang merupakan anak autisme.

“Tahun ini Edry tidak ada kerana dia telah ke England. Namun, isteri dan anak-anaknya masih berada di Malaysia kerana menghabiskan persekolahan pertengahan tahun. Memang akan terasa berbeza kerana setiap tahun keluarga kami akan lengkap.

“Ditambah keluarga Edry yang paling besar, ketiadaan mereka pada Aidilfitri akan datang pasti dirasai. Walaupun akan terasa rindu, sekarang dengan teknologi kami masih boleh berhubung. Jika tidak pun kami sekeluarga boleh terbang ke sana berjumpa mereka,” kongsi Yusry pula.





Rehat

Menyentuh tentang aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan, jelas Lisa, dia dan Yusry memilih untuk berehat bagi memberi tumpuan kepada ibadah dan juga keluarga. Lisa bagaimanapun memberitahu, berehat daripada aktiviti seni pada bulan Ramadan sudah menjadi rutinnya sejak tidak lagi bernaung di bawah pengurusan MIG (Metrowealth International Group) pada tahun 2012.

Azamnya pada Ramadan tahun ini adalah untuk khatam al-Quran dan melakukan ibadah sebanyak mungkin.

“Disebabkan bulan Ramadan tiada aktiviti seni dengan umur semakin meningkat, saya ingin cuba khatam al-Quran dan melakukan ibadah sebanyak mungkin,” kata Lisa.

Lisa yang merupakan ibu kepada dua orang anak, Yahaira Leanne, 3, dan Yusof Leonne, 1, hanya akan kembali ke set penggambaran selepas sambutan Aidilfitri.

Bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment, Lisa mendedahkan berkemungkinan besar dia bakal kembali ke layar kaca tidak lama lagi.

“Mengikut perancangan dengan pihak pengurusan tahun ini ada beberapa kerja yang saya perlu buat antaranya berlakon drama. Saya bukannya cerewet dan tiada masalah untuk berlakon drama. Namun, saya harus meneliti semua aspek seperti skrip, waktu penggambaran komitmen dan produksi yang terlibat kerana komitmen sebagai ibu.

“Saya mahu melihat anak membesar depan mata dan pada masa yang sama tidak mahu menyusahkan produksi kerana komitmen sebagai ibu. Disebabkan itu harus memilih produksi yang boleh situasi saya,” tutur Lisa.

Sama seperti Lisa, Yusry, 45, juga memilih untuk berehat selepas berhempas-pulas menjayakan Konsert Gergasi KRU25.

“Sebenarnya sebelum konsert kami semua sudah penat kerana menggunakan banyak tenaga untuk melakukan persiapan. Jadi, saya beritahu Lisa selepas konsert saya mahu berehat sehingga raya. Memang sengaja tidak mengambil sebarang tawaran kerja kecuali menulis skrip di rumah jika ilham tiba-tiba muncul,” kongsi Yusry.

Bercakap soal keserasian selepas enam tahun berkahwin, Lisa dan Yusry menjelaskan hubungan semakin utuh dan semakin memahami antara satu sama lain. Mungkin disebabkan itu Yusry selaku pengarah selesa dibantu Lisa sebagai pembantu pengarah atau penerbit dalam setiap projek seninya.

“Kami telah beberapa kali bekerjasama dalam projek seperti klip video Abang Nak Tegur dan Konsert Gergasi KRU25. Secara profesional, Lisa seorang pembantu pengarah yang bagus, jadi buat apa cari orang lain.

“Selepas ini Lisa akan bekerja dengan saya dalam setiap projek. Terbaharu selepas Aidilfitri, kami akan bekerjasama dalam sebuah telefilem. Saya sebagai pengarah dan Lisa sebagai pembantu pengarah,” ujar Yusry yang tidak akan kembali menyanyi dalam masa terdekat.

Serasi bersama

Lisa yang berada di sebelah Yusry mendedahkan, meskipun mereka merupakan pasangan suami isteri, namun di set penggambaran mereka merupakan pekerja yang profesional. Adakalanya kalanya mereka turut berbalah untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

“Alhamdulillah apabila kami bekerja, kedua-dua profesional. Berselisih pendapat itu perkara biasa tetapi saya belajar untuk hormati sisi kreatif masing-masing. Walaupun sama-sama bekerja dalam bidang seni hakikatnya, sejak umur 11 tahun saya hanya bekerja depan kamera.

“Berbeza dengan Yusry yang sudah 26 tahun dalam industri. Dia bukan sahaja bekerja sebagai artis, tetapi juga mahir dalam bidang teknikal,” kata Lisa.

Sungguhpun Yusry selesa bekerja dengan Lisa, namun adakala timbul keadaan tegang apabila mereka membincangkan soal kerja di rumah.

“Kami jenis yang habis kerja akan terus pulang ke rumah. Disebabkan sudah kerja sekali, suka atau tidak pasti akan bercakap soal kerja di rumah. Namun, biasanya anak-anak akan menyedarkan kami di rumah adalah waktu keluarga.

“Setakat ini saya masih selesa bekerja dengan Lisa kerana dia seorang yang sangat tersusun, berbeza dengan saya. Kiranya kami berdua saling melengkapi antara satu sama lain. Di mana kekurangan saya, di situlah kelebihan Lisa,” tutur Yusry menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post