Ara tidak dapat terima sekiranya netizen sewenang-wenangnya menyentuh sensitiviti dirinya.
Penyanyi Ara Johari mudah melenting apabila ada netizen yang menegur dengan menyentuh sensitiviti dirinya.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 21, berkata dia tidak menyukai jika individu tersebut mengaitkan tentang perihal keluarga, privasi dan kariernya.
"Kadang-kadang saya bertindak dahulu kemudian baru berfikir disebabkan tidak dapat mengawal emosi.
"Emosi saya bergantung kepada keadaan tapi kalau perkara-perkara kecil saya akan berfikir dahulu selepas itu baru lakukan sesuatu.
"Apa yang boleh buat saya marah dan tidak suka orang menyentuh perihal keluarga, privasi dan kerjaya saya," kata Ara kepada mStar Online.
Ara akan bertimbang rasa dan berfikir dahulu jika teguran itu tentang perkara kecil.
Ara ditemui ketika Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 Meriah Bersama di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum ini, penyanyi lagu Bunga ini pernah dikecam netizen gara-gara memuat naik video sedutan filem Avengers: Infinity War di Instastorynya.
Menerusi laporan pada 29 April lalu, Ara memberitahu dia sukar menerima teguran segelintir netizen yang menggunakan perkataan kesat terhadapnya hanya kerana kesilapan dilakukan.
Bagaimanapun, Ara akui kesilapannya dan akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sesuatu di laman sosial selepas ini.
"Saya akan lebih berhati-hati, sekarang orang akan melihat semua tindak-tanduk yang saya lakukan setiap masa.
Ara Johari.
"Salah saya akan cepat tersebar dan selepas ini saya akan cuba memperbaiki diri ke arah lebih baik.
"Saya bukannya takut dikecam tetapi risaukan persepsi orang terhadap diri saya. Orang akan pandang atas bawah lepas kita buat silap," ujarnya.
Dalam pada itu, Ara akan memperlahankan karier nyanyiannya pada bulan Ramadan bagi memberi tumpuan pada perniagaan katering yang diuruskannya.
"Bulan puasa ini saya perlahankan aktiviti seni sebab nak fokus pada perniagaan sahaja.
"Tapi ada juga beberapa tawaran untuk membuat persembahan saya terima. Cuma perlahankan sahaja.
"Insya-Allah selepas hari raya, saya kembali aktif semula," katanya.