Izzmad Harun belum mengalah


Nama Izzmad Harun di dalam industri seni, barangkali masih belum kembang mekar.

Namun ia tidak sesekali pun mematahkan semangat jejaka berusia 24 tahun ini untuk tampil dengan single baharu sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Mempertaruhkan single berjudul Baju Raya Eksklusif, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak ini berkata, keunikan lagu tersebut adalah berkonsepkan Broadway Blues.

Irama yang indah untuk dinikmati, Izzmad berharap lagu itu akan menjadi antara lagu kegemaran ramai setiap kali tibanya hari lebaran.

Lagu itu juga menjadi lagu tema telefilem berjudul sama arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Telefilem itu akan disiarkan di TV3 pada Hari Raya ini.

Baju Raya Eksklusif ciptaan komposer Royce Sa’ayan dan lirik turut dikarang olehnya.

Menurut Izzmad, dia begitu teruja kerana ada lagu raya sendiri dan biarpun, dia masih bergelut untuk menempatkan dirinya dalam arus perdana dunia hiburan tanah air .

"Walaupun sudah berada di dalam industri sejak beberapa tahun lalu, saya tidak pernah patah semangat meskipun ramai yang belum mengenali.

"Insya-ALLAH dengan bantuan pengurus, Ianz Fariz, kami akan terus berjuang.

"Cuma kini saya tidak mengehadkan kerjaya dalam bidang nyanyian semata-mata, tetapi juga lakonan.

"Biarpun belum berpeluang memegang watak besar tetapi setiap watak yang saya lakonkan akan dibawa dengan sebaik mungkin. Sekecil atau sebenar mana pun watak yang dilakonkan ia adalah satu amanah dan memerlukan penghayatan yang mendalam," katanya.





Demi memperbaiki segala kelemahan dan membuktikan komitmen tinggi di dalam industri, Izzmad berkata, dia tidak kisah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk memasuki kelas lakonan dan mendalami seni mempertahankan diri sebagai persediaan.

Terbaharu, penyanyi lagi Nilai Kasih itu akan berlakon dalam filem aksi yang kini dalam proses membaca skrip dan memahami karakter.

"Bukan tabiat saya, apabila dapat watak baru mahu berlatih. Saya perlu bersedia bila-bila masa saja.

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam filem pertama lakonan saya. Daripada watak kecil, pihak produksi mengembangkan watak saya menjadi lebih besar kerana kelebihan saya dalam seni mempertahankan diri,” ujarnya.

Terdahulu, Izzmad baru selesai penggambaran telefilem berjudul Sembilu Dosa khusus untuk siaran Hari Ibu bakal mengisi slot RTM.

Dalam telefilem terbitan Tenview Production itu, Izzmad pegang watak bernama Saleem iaitu anak seorang pemilik kilang kerepek.

Ujar Izzmad, projek lain dalam perancangan dia akan merakamkan lagu berkonsepkan kontemporari ketuhanan.

"Lagu itu akan dijadikan lagu tema untuk sebuah telefilem yang akan menjalani penggambaran pada masa terdekat untuk siaran TV3.

"Untuk lagu ini, saya berkolaborasi dengan Abang Ianz bagi mengorak langkah dalam bidang penciptaan dan menulis lirik lagu pula.

"Saya perlu bersedia untuk mempelbagaikan bakat dan kebolehan saya dalam bidang seni. Mungkin selepas ini saya boleh menghasilkan lirik untuk penyanyi baru,” katanya yang bersedia bekerjasama dengan mana-mana produksi yang berminat untuk menggunakan suaranya menyanyikan lagu tema secara solo atau berduet untuk telefilem atau drama rantaian terbitan mereka.

Post a Comment

Previous Post Next Post