Pelakon, Idris Khan yang pernah mencetuskan kontroversi ekoran penyebaran gambar bogel dua tahun lalu mengakui berasa kasihan dengan nasib menimpa Syafiq Kyle yang turut terpalit isu sama membabitkan video panggilan seks.
Idris atau Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, 30, berkata, dia dapat merasai perasaan, tekanan dan dugaan dihadapi pelakon drama Nur itu berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
"Sebagai orang pernah terpalit isu sama, saya dapat rasa apa yang dilalui Syafiq sekarang. Apa pun, anggap yang berlaku ini adalah dugaan apatah lagi terjadi dalam bulan Ramadan. Saya harap Syafiq boleh bertabah dan banyakkan bersabar. Dalam masa sama, kena sentiasa berfikiran positif.
"Kalau boleh jangan biar perkara ini mengganggu diri dan kerja. Kena ingat kita masih ada keluarga, jadi teruskan kehidupan seperti biasa.
"Macam saya dulu, pedulikan apa saja persepsi orang. Saya hanya fokus kerja dan berikan hasil terbaik. Sebab dalam bidang ini, itu yang penting. Dalam masa sama, kita jangan kacau hidup orang lain," katanya.
Menurut Idris, tidak adil sekiranya masyarakat terus menjatuhkan hukum kepada seseorang artis kerana setiap manusia pasti ada kelemahan.
"Artis juga manusia biasa dan tidak sempurna. Cuma, tidak dinafikan artis sentiasa menjadi perhatian masyarakat dalam apa jua dilakukan. Jadi, kalau ada silap sikit memang terus kena kecam. Disebabkan itu, kena sentiasa berhati-hati.
"Pun begitu, peminat atau sesiapa saja berhenti daripada terus menjatuhkan hukum. Mengenai isu ini, saya percaya Syafiq juga tidak menjangka perkara sebegini boleh terjadi," katanya.
Terdahulu, tersebar panggilan video seks yang didakwa mirip Syafiq bersama ‘wanita’ dikenali sebagai Mira di laman Twitter sejak malam Ahad lalu.
Video berdurasi tujuh minit 22 saat itu memaparkan Syafiq berbaring atas sofa dan berdiri dalam bilik air dengan selepas diminta Mira berbuat demikian.
Dua hari selepas itu, Syafiq membuat kenyataan media menerusi laman IG miliknya bagi menjawab segala spekulasi yang tersebar.