
Berkongai cerita raya, Fizi Ali meluahkan rasa terujanya yang pertama kali beraya sebagai seorang suami. Meski pada tahun ini dia beraya bersama keluarga mertuanya di Kuala Kangsar, Perak, kemeriahannya tetap sama.
“Banyak benda yang berbeza untuk raya saya kali ini. Maklumlah tahun pertama bergelar suami, jadi banyaklah benda baharu yang saya lalui.
“Kalau dulu persiapan raya saya asal siap saja, tapi sekarang dah jadi lain kerana isteri yang sediakan semuanya. Paling penting, tahun ini kena pakai baju raya yang ikut tema warna untuk sedondon dengan isteri.
“Tahun ini juga saya buat pertama kalinya beraya di Kuala Kangsar, Perak bersama keluarga isteri. Pada raya kedua, barulah saya akan bawa isteri untuk pulang beraya di kampung saya di Mersing pula,” ujar Fizi teruja.
Meski hanya mendapat cuti selama beberapa hari, Fizi mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan itu untuk bersama keluarga dan dalam masa yang sama memperkenalkan isterinya kepada sanak-saudaranya.
“Sejak kecil dulu saya sering terfikir, siapalah wanita yang akan saya bawa balik beraya di kampung sebagai isteri. Tak sangka pada tahun ini persoalan itu terjawab dan saya pulang beraya bersama isteri, Shakilla Khoriri,” katanya.
Dalam pada itu, penyampai yang mengendalikan slot Suria Pagi ini turut mendedahkan tentang pengalamannya yang pernah beraya di konti sebelum ini.
“Kejadian itu berlaku ketika saya bertugas di radio lama. Disebabkan baru sahaja bertugas dan masih bujang, maka saya terpaksa beri peluang kepada rakan-rakan lain yang telah berkahwin untuk bercuti.
“Memang sedih pun tak dapat pulang beraya bersama keluarga, tapi saya OK saja sebab kerja pun tanggungjawab juga.
“Tapi paling tak tahan bila dengar takbir raya, terus jer rasa nak balik jumpa keluarga masa tu juga,” imbas Fizi sambil ketawa.