Cabaran coklat dan Milo Sherry Alhadad


Sekitar Januari lalu, pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad dilihat begitu aktif bersenam di gimnasium.

Sepanjang tempoh tersebut, pelakon yang mula dikenali menerusi telefilem Sutun 2 itu kerap memuat naik rutin senamannya di Instagram, membuatkan khalayak memuji tindakan anak jati Kuching, Sarawak berkenaan untuk menguruskan badan.

Hampir setengah tahun menjadikan pusat gimnasium sebagai ‘rumah’ kedua, Sherry kini mampu tersenyum bangga apabila beratnya yang dahulu 119 kilogram (kg) kini susut kepada 105kg.

Hilang sebanyak 13kg, Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 34, berkata, dia berusaha menurunkan berat badan bukan untuk tampil cantik, sebaliknya mahu menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Pada masa sama, Sherry yang ditemui pada majlis tayangan program Syawal rangkaian televisyen Media Prima di ibu kota baru-baru ini berbicara mengenai perancangan untuk memasarkan jenama pakaian senaman bagi wanita bertubuh besar selain sebab mengapa dia mengambil keputusan menyambut kedatangan Syawal di Kuala Lumpur.

KOSMO!: Tubuh Sherry kelihatan susut. Banyak penurunan berat badan sejak aktif bersenam?

SHERRY: Selepas lebih tiga bulan bersenam, berat badan saya turun sebanyak 13kg.

Saya sangat gembira dengan penurunan tersebut kerana merupakan orang yang susah untuk bersenam. Jika tiada individu yang menjaga rutin senaman, iaitu jurulatih Wong Chun Yan, saya mungkin tidak mencapai berat seperti sekarang.

Apakah perubahan ketara yang anda rasakan selepas hilang berat sebanyak itu?

Jika dulu saya perlu menggunakan lebih tenaga untuk melakukan sesuatu perkara, selepas berat badan menyusut, saya menjadi lebih aktif dan badan pula terasa ringan.

Setiap orang mempunyai sasaran jika melalui proses penurunan berat badan. Adakah anda mempunyai berat badan ideal yang ingin dicapai?

Tentu sekali. Saya memasang impian untuk menurunkan berat badan sehingga 100kg. Namun, jika ditakdirkan saya mampu untuk menurunkan lebih banyak berat badan selepas itu, saya anggap ia satu bonus.

Anak seni yang bertubuh besar sering diasosiasikan dengan watak-watak komedi. Adakah anda pernah terfikir yang tawaran berlakon akan berkurangan jika fizikal anda berubah?

Jujur, saya pernah takut untuk menurunkan berat badan. Maklumlah, orang-orang yang rapat dengan kita juga berbeza pendapat.

Ada setengah daripada mereka suka apabila saya kurus dan ada juga yang memilih untuk melihat saya dengan fizikal sekarang.

Namun, saya tidak melihat tawaran berlakon sebagai satu isu. Hal ini kerana, saya mahu turunkan berat badan kerana inginkan hidup yang lebih sihat, bukan semata-mata mahu cantik.





Apakah makanan yang paling sukar untuk dijauhi sepanjang mengamalkan diet dan bersenam?

Makanan bergula terutama coklat. Saya suka makan coklat dan minum Milo dua kali sehari. Ketika mula-mula mengamalkan diet sihat, saya langsung tidak membeli Milo untuk diletak di rumah. Agak payah juga pada mulanya, namun lama-kelamaan saya sudah terbiasa.

Selain memasarkan baju kasual di bawah jenama Asyikin Exclusive, apakah perancangan lain dalam bidang perniagaan?

Sejak aktif bersenam, ramai yang bertanya saya tentang pakaian senaman bersaiz besar. Justeru, saya terfikir untuk memasarkan koleksi pakaian senam untuk wanita yang menutup aurat.

Bagaimanakah persiapan hari raya anda tahun ini?

Persiapan biasa-biasa sahaja memandangkan saya beraya di Kuala Lumpur. Selalunya, saya akan beraya di Kuching, Sarawak tetapi disebabkan mahu bercuti dan balik kampung pada bulan Ogos, saya memutuskan untuk beraya di sini sahaja.

Program bual bicara kelolaan anda, The Sherry Show mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Adakah anda bakal dilihat beraksi untuk musim yang kedua?
Saya sendiri terkejut program tersebut diterima baik dalam kalangan penonton. Walaupun ia disiarkan pada pukul 11 malam, namun masih ada yang setia menonton. Kami ada berbincang mengenainya dan jika ada rezeki, saya akan kembali untuk musim kedua.

Post a Comment

Previous Post Next Post