Beberapa kali juga penyanyi ini cuba mengelak untuk memperkatakan soal jodoh namun kini tidak lagi. Amira Othman dilihat sudah bersedia untuk memasuki fasa serius dalam alam percintaan sementelah umurnya sudah berusia 25 tahun.
Sudah tiba masanya penyanyi lagu Hati Hati ini terbuka dalam soal yang satu itu berbanding ketika saat awal pembabitannya dalam industri hiburan lima tahun dahulu. Bukannya apa, Amira bimbang ada pihak yang tidak senang apabila dia berkongsi secara terbuka.
Ditambah dengan kedudukan dirinya sebagai selebriti yang ditanam kuat didikan seorang gadis Melayu yang mengangkat budaya Timur, sekaligus menyebabkan anak kelahiran Johor ini lebih selesa untuk menutup mulut.
“Saya sudah bersedia untuk bercinta. Maksudnya serius dalam menjalinkan hubungan, bukannya cinta monyet atau main-main. Hati saya dah terbuka untuk menerima cinta baharu. Keputusan ini juga dibuat untuk kebaikan diri saya sendiri.
“Saya tak prejudis dalam soal umur. Cuma saya merasakan pertimbangan seorang wanita terhadap rasa cinta itu boleh ‘dipakai’ ketika usianya 25 tahun ke atas. Waktu itu paling sesuai untuk bercinta,” kata Amira berfalsafah.
Tidak menetapkan sebarang kriteria khusus dalam lelaki idamannya, apa yang diharapkan penyanyi lagu Jaga Jaga ini adalah calon kekasihnya itu bukan dalam kalangan selebriti dalam industri hiburan.
Komitmen kerja yang tidak menentu menyebabkan Amira bimbang jika perkara itu menyebabkan hubungannya itu kelak bermasalah atau ditimpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya memang seorang yang kuat cemburu. Kalau si dia bekerja sama dengan saya, tak tahulah nak cakap macam mana. Jadi bagi mengelakkan macam-macam perkara terjadi, lebih baik saya memilih lelaki di luar daripada bidang kerjaya ini,” ujarnya.