Rita Rudaini kongsi gambar nikah dalam gudang beras


Melalui buku berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan, Rita Rudaini berkongsi kisah suka duka hidupnya termasuk mendedahkan secara eksklusif foto pernikahan dengan bekas suami, pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Rita atau nama lengkapnya, Rita Rudaini Mokhtar, 42, berkata, foto kenangan yang disimpan tersebut diambil ketika upacara akad nikah yang diadakan di dalam sebuah gudang beras di selatan Thailand.

Pelakon filem Mami Jarum itu ditemui pada majlis pelancaran buku Kerana Aku Seorang Perempuan: Dari Kamar Hatiku - Rita Rudaini tulisan Pengarang Pancaindera Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu.

Menurutnya, ada cerita yang tidak pernah didedahkan sebelum ini termasuk, mengapa pernikahannya berlaku dalam sebuah gudang beras. Melalui buku tersebut, orang ramai akan mengetahui lebih lanjut mengenai kisah hidupnya dari zaman sebelum bergelar artis sehinggalah sekarang.

Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 5 September 2013. Pasangan itu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini bawah jagaan Rita.

KOSMO!: Mengapa Rita berani muncul dengan buku tersebut terutama ada kandungan yang bercerita tentang kontroversi perkahwinan dan perceraian?

RITA RUDAINI: Buku ini diterbitkan bukan untuk meraih simpati sesiapa tetapi lebih ke arah ingin memberi inspirasi dan motivasi kepada kaum wanita. Pasti ramai wanita yang senasib dengan saya.

Ditinggalkan suami dan membesarkan anak secara sendirian tanpa punca pendapatan tetap bukanlah sesuatu yang mudah.

Dalam buku berkenaan, anda berkongsi sekeping foto pernikahan yang tidak pernah didedahkan sebelum ini, mengapa?

Foto itu saya simpan baik-baik dalam sebuah cakera padat agar tidak tersebar. Kini rasanya sudah sampai masa untuk ia dikongsikan dengan orang yang ingin tahu bagaimana perjalanan hidup saya.

Kami bernikah di sebuah gudang beras kerana rumah imam yang menjalankan akad tersebut betul-betul berada di tingkat atas gudang itu. Dia beri pilihan untuk bernikah di masjid tetapi saya takut ada orang kenal.

Bagaimana jika buku berkenaan menimbulkan kemarahan bekas suami, lalu ingin mengambil tindakan undang-undang?

Buku ini bukan untuk membuka aib atau meraih simpati mana-mana pihak, sebaliknya memberi kekuatan kepada wanita yang mengalami nasib sama. Bermula dari awal sampai akhir, ia sangat berat untuk saya tanggung.

Saya sedar, ada orang lain berdepan dengan kehidupan yang lebih teruk berbanding saya. Saya cuma bersikap jujur, jika ada orang berasa marah dan dakwa saya mahu raih simpati, saya berani menafikan perkara itu.

Cuma saya kongsi rasa susah sangat apabila ditinggalkan bertiga. Saya rasa sebelah sayap saya patah. Ramai yang bertanya, bagaimana mahu jadi kuat, saya tidak mahu lagi bercerita banyak kali, jadi saya luahkan semuanya dalam buku ini.





Bagaimana anda mendapat kekuatan untuk meneruskan hidup dan membesarkan anak-anak?

Saya sedar status sebagai selebriti. Ditinggalkan terkontang-kanting oleh suami tanpa sesen bukan mudah. Anak-anak adalah sumber kekuatan saya.

Justeru, kalau anak saya dicemuh di Instagram, saya akan mudah meradang. Kalau nak kritik, biarlah kritik saya sahaja, jangan anak-anak.

Orang nak kata saya ‘plastik’, silakan itu hak mereka, namun apa yang terbuku di hati, hanya saya seorang yang tahu dan teman-teman rapat seperti Tengku Khalidah.

Mengapa memilih Tengku Khalidah sebagai penulis yang membukukan kisah hidup anda?

Beliau antara sahabat media yang paling rapat dan tahu segala perjalanan hidup saya. Sebak rasanya apabila melihat penerbitan buku ini akhirnya direalisasikan selepas lima tahun ditulis.

Saya ibaratkan buku ini seperti permata kerana telah melalui susah senang sendirian apabila berjauhan dengan keluarga. Beliau adalah antara teman rapat yang tahu mengenai semua hal tentang saya.

Dari zaman belum berkahwin, bercinta, berumah tangga dan ketika perkahwinan serta dilanda masalah, semua itu dalam pengetahuannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post