
Pelakon Remy Ishak, 36, berjaya melawan fobia 'takut air' biar pun pernah berdepan insiden hampir lemas beberapa tahun lalu.
"Saya pernah hampir lemas ketika berkelah di Ulu Yam pada 2013 dan pengalaman itu membuatkan saya gementar apabila berada di dalam air sama ada di laut atau tasik.
"Perasaan itu kembali 'menghantui' pada penggambaran filem Pulang kerana watak saya sebagai seorang nelayan," katanya memegang watak Othman.
Remy berkata melalui filem itu, dia hampir panik pada babak tenggelam dalam air dan beberapa barang dijatuhkan berhampirannya bagi menunjukkan aksi kapal karam.
Tapi dia cuba menenangkan diri dengan berkata pada diri sendiri bahawa dia perlu melakukan babak itu dengan baik.
Sebelum ini, pelakon terbabit pernah berdepan situasi cemas hampir serupa ketika penggambaran filem Kau Takdirku yang ditayangkan tahun lalu.
Filem Pulang arahan Kabir Bhatia berdasarkan kisah benar dilalui datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan dijangka ditayangkan pada Julai depan.