Ramadan pertama Fazura sebagai isteri


Selepas enam bulan mendirikan rumah tangga bersama pelakon Fattah Amin, aktres Fazura mengakui teruja menyambut Ramadan buat kali pertama sebagai isteri.

Biarpun sibuk dengan aktiviti seni dan perniagaan, Fazura menegaskan, sama seperti wanita lain, dia tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri seperti memasak dan menguruskan rumah tangga.

“Alhamdulillah tahun ini saya dapat merasai bagaimana menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri dengan suami.

“Sudah tentu saya akan lakukan tugas isteri seperti kejutkan suami bangun sahur dan memasak. Namun, saya yakin Fattah akan membantu. Selama ini jika tiada penggambaran, dia akan membantu semua kerja rumah.

“Kami akan buat segalanya bersama dan saya beruntung kerana dapat suami yang ringan tulang. Insya-Allah Ramadan ini akan memberi pengalaman manis buat saya,” kongsi Fazura.

Dalam pada itu, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 35, yang ditemui pada majlis Fazbulous Ramadan Fashion Show 2018 baru-baru ini memberitahu, dia akan kekal dengan imej berhijab pada bulan Ramadan.

Menurutnya, tahun ini sudah masuk tahun kelima dia kekal dengan rutin berhijab pada bulan Ramadan. Tegas Fazura, dia tidak berniat untuk mengelirukan peminat atau mengambil kesempatan berhijab semata-mata untuk menjual fesyen Muslimah.

Sebaliknya, berhijab pada bulan Ramadan merupakan langkah awal buat dirinya sebelum membulatkan hati untuk menutup aurat sepenuhnya pada masa depan.

“Ini merupakan peragaan untuk fesyen bulan Ramadan, sebab itulah saya berhijab. Sebenarnya setiap tahun saya tidak sabar menunggu bulan Ramadan untuk berhijab.

“Jika ditanya bila saya akan berhijab sepenuhnya, saya tidak mampu menjawab. Biarlah urusan itu antara saya dengan Allah.

“Saya tidak mahu berhijab dalam keadaan diri tidak bersedia dan hanya untuk puaskan hati orang lain,” kata Fazura.

Sungguhpun begitu akui Fazura, suaminya menyukai dia berhijab. Bagaimanapun Fattah tidak pernah memaksanya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Fazura sendiri.

“Sebagai suami, Fattah memang suka saya berhijab tetapi tidak memaksa. Dia tahu, jika saya berhijab kerana orang lain tiada gunanya juga.

“Depan orang pakai tudung tetapi di belakang tidak pakai. Saya tidak mahu begitu, jadi tunggu sehingga saya benar-benar bersedia. Tolong doakan saya,” ujar Fazura.





Koleksi Ramadan

Walaupun belum berhijab sepenuhnya, Fazura mengambil langkah berani dengan mengeluarkan koleksi hijab seperti bawal kain kapas, bawal bercorak dan selendang.

Menurut wanita itu, tidak salah untuk mengeluarkan koleksi hijab memandangkan terdapat permintaan yang tinggi di pasaran.

“Apa salahnya untuk saya menjual koleksi hijab? Sebelum ini ramai yang berminat untuk membeli hijab yang saya pakai setiap kali bulan Ramadan walhal ia hanya tudung bawal biasa.

“Jadi, bagi memenuhi permintaan, saya keluarkan sendiri koleksi hijab yang dinamakan Tudung Fazura dengan koleksi pakaian Fazbulous Ramadan,” tutur Fazura.

Bukan itu sahaja, selain jenama Fazbulous miliknya sendiri, Fazura juga berkolaborasi dengan beberapa jenama lain untuk koleksi raya.

“Memang tahun ini saya mempunyai banyak koleksi pakaian raya. Selain Fazbulous saya bekerjasama dengan Altelia Amani dan FAR8, Rizman Ruzaini serta Hai-O.

“Peminat mungkin akan keliru sebab banyak sangat jenama tetapi setiap jenama ada perbezaan. Jadi, peminat boleh memilih jenama yang bersesuaian dengan cita rasa masing-masing,” kata Fazura.

Bercakap tentang aktiviti seni, Fazura yang baru selesai menjalani penggambaran filem The Legend Of Pontianak akan berehat daripada dunia lakonan sepanjang Ramadan dan memberi fokus kepada promosi perniagaan fesyen sahaja.

“Jadual saya padat dengan aktiviti promosi. Saya hanya akan kembali ke set penggambaran filem selepas sambutan Aidilfitri. Namun, filem itu masih tidak boleh diumumkan,” kongsi Fazura.

Post a Comment

Previous Post Next Post