Hazama Azmi tidak kisah tanpa zuriat


Hazama kerap memberi kata-kata perangsang kepada Genervie agar sentiasa yakin dengan rezeki Allah.

Sekitar awal tahun lalu, Hazama pernah melalui detik yang agak menyebalkan sebagai suami apabila kandungan pertama isterinya, Genervie Kam terpaksa dibuang.

Hal ini kerana, kandungan yang sepatutnya berusia sekitar dua bulan itu disahkan doktor menempel pada bahagian luar rahim, sekali gus berisiko mengancam nyawa isterinya.

Tidak hanya itu, disebabkan kandungan membesar pada bahagian luar rahim, tiub fallopio bahagian kiri milik Genervie juga terpaksa disingkirkan.

Biarpun mengakui sedikit berduka dengan keputusan yang telah dibuat, penyanyi lagu Di Amaran Mama itu bagaimanapun percaya pada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Hazama, 34, yang ditemui pada program rakaman Muzik Muzik Raya di Hotel Marriott, Putrajaya baru-baru ini berkata, sebagai seorang suami, dia sangat memahami perasaan Genervie yang mungkin agak terganggu emosinya sejak kejadian tersebut.

Katanya, dia tidak pernah memberi tekanan kepada isterinya untuk mendapatkan anak. Sebaliknya, dia sering memberi nasihat dan kata-kata positif agar isterinya itu tenang menjalani kehidupan seperti biasa.

KOSMO!: Hazama, sejak Genervie mengalami masalah pada bahagian rahim, bagaimana anda melalui rutin harian sebagai suami isteri? Adakah anda berdua sering menerima tekanan daripada pihak keluarga untuk segera mendapatkan cahaya mata?

HAZAMA: Saya bersyukur kerana pihak keluarga sangat memahami keadaan isteri saya. Begitu juga dengan keluarga Genervie, mereka sering memberikan sokongan moral kepadanya. Mengenai rutin harian sebagai pasangan suami isteri, saya akui Genervie sering menyatakan rasa risau kerana dia mengalami masalah sukar untuk hamil berikutan tiub fallopio yang telah dibuang

Namun, saya sering menenangkannya dan memberi kata-kata nasihat supaya emosinya tidak terganggu.





Bagaimanakah anda menenangkan isteri anda?

Pada usia 38 tahun ini, Genervie sering mengadu kepada saya yang usianya semakin meningkat. Tetapi, saya tetap positif dan selalu memujuk Genervie supaya bersabar

Saya katakan, mungkin Allah tahu yang saya dan dia belum bersedia untuk mendapatkan anak. Jadi, dilewatkan rezeki tersebut untuk kami berdua.

Menerusi kecanggihan teknologi zaman sekarang dan kepakaran yang ada, adakah anda berdua mahu mencuba alternatif perubatan lain seperti rawatan pembenihan in-vitro (IVF)?

Genervie ada mencadangkan supaya kami menjalani IVF tetapi saya menolak. Buat masa ini, kami mencuba dengan cara lain dahulu kerana saya masih percaya pada rezeki Allah.

Apabila bercakap tentang kesukaran untuk mendapatkan zuriat, kebanyakan lelaki menjadikan perkara tersebut sebagai alasan untuk berkahwin lain. Sebagai seorang suami, bagaimanakah Hazama melihat situasi ini?

Sejak mendirikan rumah tangga dengan Genervie pada 15 Januari 2017, dia melayan saya sebaiknya. Dia tidak pernah culas apabila menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Jadi, tiada ruang untuk saya berkahwin lain semata-mata kerana inginkan zuriat.

Andai kata saya cari orang lain semata-mata kerana mahukan anak, saya pasti akan kehilangan kasih sayang dan perhatian isteri saya. Saya tidak mahu ia berlaku. Tiada anak pun tidak mengapa, asalkan saya ada isteri saya.

Anda begitu positif dalam hal ini. Adakah anda tidak risau jika tidak dikurniakan anak sepanjang berumah tangga?

Sebelum berkahwin, Genervie ada mengadu tentang masalah pada peranakannya kepada saya. Jadi, saya sudah sedia maklum bahawa kemungkinan untuk mendapatkan anak itu ada. Saya sentiasa positif dan memberitahunya supaya tidak perlu risau. Saya kata kepadanya, rezeki Allah itu pasti.

Boleh kongsikan mengenai perkembangan terkini anda? Adakah anda merancang untuk menerbitkan single baharu?

Benar, saya akan memasarkan single baharu berjudul Tunggu Aku Datang. Single yang dicipta oleh Tam Spider dan Keon itu akan dijadikan runut bunyi untuk drama lakonan saya, Bila Tuhan Berbisik Cinta.

Menerusi karya tersebut, saya bergandingan dengan Datuk Awie dan sejujurnya, saya berasa sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan idola saya dalam sebuah drama. Mengikut perancangan, drama bersiri 13 episod itu akan ditayangkan menerusi slot Zehra TV3 pada penghujung tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post