![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjPmV6ymgmeJRcMtf3eKEWsBMUvRmKQkUuU5bPDMoGUn4q7Ng0IgPr_cRUYmvjpe1AqOh0hhT72P_n9IRfyve8zZoc4HtfSCKSXtUbE_9PdHD0E-AaxFR7BZNtaTVux4-gjDQ1R_-NGCyI/s1600/Rafiena+Ezanee.jpg)
Pelakon dan penerbit, Datuk Rafiena Ezanee Ramli mendedahkan salah seorang pekerjanya dalam syarikat miliknya, Darkwave Pictures Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah yang menyebabkan beliau mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
Rafiena, 35, berkata, beliau mengetahui tentang perlakuan penyelewengan pekerjanya itu sejak beberapa bulan yang lalu dan sudah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Dia sudah enam tahun berkhidmat dengan syarikat saya bukan sahaja Darkwave Pictures tetapi Darkwave Global. Memang tidak sangka orang yang saya amat percayai sanggup menipu saya setelah banyak saya bertoleransi.
"Laporan polis sudah dilakukan bulan Mac lalu dan ia sedang dalam siasatan polis kerana jenayah yang dia lakukan adalah jenayah komersial dan prosesnya sedikit rumit," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebentar tadi.
Menurutnya lagi, pekerja yang merupakan seorang lelaki lewat 40-an itu melakukan penyelewengan yang melibatkan peralatan set penggambaran seperti kemera. Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan sempat menjalankan perniagaan 'haram' dengan menubuhkan syarikat sendiri hasil wang yang dilaburkan untuk hal penerbitan naskhah drama
"Bayangkan, sejak enam tahun dia bekerja, saya sudah beli enam set penggambaran yang bernilai ratusan ribu ringgit. Apabila 'kantoi', luluh hati saya apabila dapati tinggal satu unit sahaja.
"Lagi sakit hati apabila mendapati dia sempat menjalankan perniagaan 'haram' tanpa pengetahuan saya. Set penggambaran itu dijual kepada individu lain dan sudah banyak wang yang dia makan tanpa saya sedari," jelasnya lagi.
Kata Rafiena, beliau masih menunggu perkembangan siasatan lanjut daripada pihak polis dan tidak mahu mengulas terlalu lanjut atas nasihat pihak berkuasa.
"Macam-macam penipuan terbongkar sepanjang enam tahun dia berkhidmat dengan syarikat saya sehinggalah dia sendiri meletakkan jawatan atas kehendak sendiri. Kita tunggu siasatan dan tindakan lanjut daripada pihak polis sahaja selepas ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rafiena melalui syarikat miliknya, Darkwave Pictures tampil dengan drama terbaharu berjudul Air Mata Syurga yang akan mula ditayangkan bermula 7 Mei ini menerusi saluran HyppSensasi, unifiTV.
Drama arahan pengarah Raja Ahmad Alauddin itu membariskan para pelakon hebat seperti Tasha Shila, Ellie Suriati, Haliza Misbun dan Normah Damanhuri.