
Penyanyi dan pelakon popular, Zarul Husin, 44 berkongsi keterujaan untuk mengundi buat kali pertama dalam hidupnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jelas vokalis kumpulan Umbrella ini kepada Astro Awani, tugas sebagai pramugara sebelum ini menyebabkan dia tidak berpeluang menjalankan tanggungjawab kerana perlu bertugas di awan biru setiap kali tibanya PRU.
“Saya selalu melihat orang lain mengundi. Rasa macam, seronok sangat. Tahun ini, akhirnya saya berpeluang mengundi. Memang tak sabar.
“Setiap kali pilihan raya, tarikhnya ‘tak kena’ dengan jadual saya. Selalu sahaja kena terbang. Memang terkilan juga,” ujarnya yang sebelum ini bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan mulai tahun 2000.
Biarpun tidak pernah mengundi, Zarul mempunyai pengalaman tersendiri kerana pernah bergelar petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU9 tahun 1995.
“Ketika itu, saya bekerja dengan sebuah agensi kerajaan dan semasa hari pilihan raya, saya antara yang ditugaskan di sebuah pusat mengundi.
“Macam-macam kerenah manusia boleh nampak ketika itu. Mungkin sebab itu, saya tak sabar menantikan hari di mana saya sendiri dapat membuang undi,” ujarnya sambil memberitahu, dia tidak dapat mengundi ketika itu kerana usianya belum genap 21 tahun.
Bakal menjalankan tanggungjawab mengundi di Shah Alam, Zarul berharap apa pun keputusan pilihan raya kali ini, ia akan membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.
“Tak kisah parti mana pun yang dipilih sebagai kerajaan, saya berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan sepenuh hati dan berkhidmat demi rakyat,” katanya.