
Nonny perlahan-lahan mahu mengehadkan penampilannya di layar kaca sebaik bergelar isteri baru-baru ini.
Riak bahagia wanita jelita ini tampak sesuatu yang bukan dibuat-buat. Usai hampir dua bulan disunting menjadi isteri yang sah buat jejaka idaman bernama Mohamed Mustain Mohamed Adnan, 36, pada 18 Mac lepas, tiada lain yang membahagiakan figura popular, Nonny Nadirah, 29, bila mana melayari bahtera rumah tangga hingga ke hujung nyawa.
Tidak sekelumit perasaan goyah menghambat jiwa pemilik nama sebenar Nonny Nadirah Zainuddin ini kononnya saham sebagai seorang aktres berkaliber bakal pudar sebaik mengemas kini notis pertukaran status sebagai seorang isteri.
Percaya dengan setiap ketentuan Tuhan, kemilau wanita yang digilap menerusi program Akademi Fantasia (AF) musim kelima lebih satu dasawarsa lampau itu percaya ia sekadar satu stigma skeptikal yang sengaja dicipta segelintir khalayak.
“Saya tidak pernah mempercayai tanggapan sedemikian. Ia sama dengan tanggapan kononnya akan kurang menerima tawaran sebaik berhijab.