
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Mila Jirin mengakui bahawa suaminya meletakkan syarat kepadanya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. Penyanyi berusia 31 tahun itu mendedahkan bahawa pada asalnya, dia mengakui suaminya, Isz Mustapha, 39, tidak memberi kebenaran kepadanya untuk kembali menyanyi.
Lebih-lebih lagi dirinya kini sudah sibuk mengendalikan rangkaian perniagaan yang diusahakan bersama suami termasuklah restoran, busana perkahwinan dan perkhidmatan katering.
“Kalau ikutkan pada mulanya, suami memang tidak mengizinkan saya kembali aktif menyanyi. Dia menjelaskan bahawa bimbang sekiranya saya terbuai dan tidak fokus sehingga mampu menjejaskan perniagaan.
“Bagaimanapun, saya mengakui kepadanya yang sudah mula rindu mahu menyanyi selepas lebih tiga tahun tidak masuk studio rakaman. Selepas puas memujuk dan meyakinkan dirinya, barulah suami bersetuju membenarkan saya meneruskan hasrat tersebut,” kata pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin itu.
Sungguh pun sudah mendapat ‘lampu hijau’, jelas pelantun lagu hit Persis Mutiara itu, suaminya tetap meletakkan syarat-syarat yang perlu dipatuhinya.
“Suami bersetuju dengan syarat. Dia mahu saya menyanyikan lagu-lagu berbentuk Islamik dan mempunyai seni kata yang baik-baik sahaja.
“Pada masa sama katanya, setiap sen pendapatan yang diperoleh daripada hasil nyanyian itu perlulah disumbangkan kepada mereka yang memerlukan bantuan dana segera,” kongsinya.
Menurut Mila, dia tidak mempunyai halangan untuk memenuhi segala syarat yang dikenakan ke atasnya. Bahkan, katanya, dia menerima ketetapan yang sudah ditentukan oleh suaminya itu dengan satu senyuman. Mana tidaknya, kata Mila, dia melihat syarat itu sebagai satu peluang yang baik untuk dirinya sendiri dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Kedaifan dan kesengsaraan hidup dahulu membuatkan saya tidak pernah sesekali melupakan insan yang berada dalam kesusahan. Sebelum ini, saya mungkin hanya mampu lihat sahaja orang yang menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun, hari ini, saya bersyukur kepada-Nya kerana mengabulkan setiap doa saya apabila hari ini giliran saya pula untuk memberikan semula sesuatu berkongsi rezeki kepada golongan yang kurang bernasib,” ceritanya.
Justeru Mila kemudian merakamkan beberapa lagu single terbaharu, namun semua usahanya itu bukanlah atas dasar untuk menjana keuntungan.
“Sebaliknya, niat Mila, setiap sen yang diperoleh disalurkan kepada Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia.
“Badan itu menyalurkan derma kepada golongan kanak-kanak yang berdepan dengan masalah kesihatan dan memerlukan dana segera,” katanya yang muncul dengan single baharu Adam & Hawa.
Juara Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia memilih bekerjasama dengan komposer dari Jogjakarta, Indonesia iaitu Sigit Baskara.
Dalam pada itu, menurut Mila, lirik lagu itu diterjemahkan menerusi al-Quran yang menceritakan pertemuan Nabi Adam dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah.
“Saya melihat Sigit memiliki ilmu seni yang halus. Dia mentafsir al-Quran untuk menghasilkan lirik lagu Adam & Hawa.
“Bekerja dengan Sigit satu pengalaman berbeza. Dia memberikan kebebasan buat saya mewarnai lagu yang dinyanyikan. Saya melihat caranya agak berbeza dengan komposer Indonesia lain yang pernah saya bekerjasama sebelum ini,” katanya yang memberitahu penggambaran tiga video muziknya dilakukan sekitar Pantai Parangtritis yang menghadap Lautan Hindi.