Shaa berniaga murtabak popiah di bazar Ramadan.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pertama Kali, iaitu Shaa memberitahu dia mengambil keputusan untuk kembali berniaga di bazar Ramadan kerana tidak mempunyai banyak undangan nyanyian sejak akhir-akhir ini.
Shaa atau Juzratul Nisha Johari, 23, berkata, dia tidak mahu membazirkan waktu dan memilih untuk berniaga selain ia adalah perkara diminatinya sejak dulu.
"Masuk bulan Ramadan undangan persembahan memang kurang dan dari tak buat apa-apa lebih baik saya berniaga.
"Kebetulan saya tengok tapak bazar di Seksyen 20, Shah Alam masih ada kosong jadi saya mohon.
"Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan mula berniaga dalam masa terdekat ini," katanya yang sebelum ini pernah berniaga di kampungnya, Kuala Kedah.
Dalam pada itu, Shaa memberitahu dia akan menjual murtabak popiah menggunakan resepi istimewanya kepada pelanggan.
Shaa tampil dengan single baru, Biar Aku Pergi.
Kata Shaa, dia sendiri akan memasak hidangan tersebut dan berharap perniagaannya itu akan diterima baik oleh pengunjung bazar itu nanti.
Sementara itu, Shaa berkata, dia baharu sahaja tampil dengan single keduanya, Biar Aku Pergi dan gembira dengan penerimaan terhadap lagu tersebut.
Bagaimanapun kata Shaa, dia masih menunggu daripada pihak pengurusannya berhubung aktiviti promosi atau sebarang persembahan pentas yang mungkin diadakan selepas Aidilfitri.
Bercakap mengenai perancangan masa depannya, Shaa berkata, dia berharap dapat membuka sebuah restoran tidak lama lagi.
Kata Shaa, dia membuat keputusan itu kerana minatnya dalam bidang perniagaan dan masakan selain ia sebagai perancangan masa depan sekiranya karier nyanyiannya tidak berhasil.
"Kebetulan saya baru berpindah ke Shah Alam dan alang-alang berniaga, saya bercadang nak buka restoran yang menjual char kuey tiaw.
"Sekarang pun ada rakan bantu saya cari lokasi sesuai dan harap-harap perancangan itu menjadi," katanya.