
Haida Hafiz tidak menolak kemungkinan untuk menyahut banyak lagi tawaran lakonan.
Sebaik sahaja rancangan realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tamat hujung tahun lalu, seorang daripada pesertanya, Haida Hafiz terus menyepikan diri tanpa tampil dengan apa-apa projek terbaharu.
Haida,36, yang pernah dikenali menerusi lagu duet Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario seolah-olah memberikan bayangan mahu menarik diri daripada industri sama seperti yang dilakukan hampir 17 tahun lalu.
Sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran program Ramadan Astro di Wow KL, baru-baru ini, Haida memberitahu, keputusannya untuk berehat terpaksa dibuat kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dia untuk terus aktif bekerja.
Namun begitu, ibu kepada seorang cahaya mata itu sudah bersedia untuk kembali mewarnai dunia hiburan dan perlahan-lahan menapak langkah meskipun sedar tempias populariti GV4 tidak sehangat sewaktu dia bergelar peserta.
KOSMO!:Boleh jelaskan mengapa anda memilih untuk menyepi selepas tamat GV4?
HAIDA: Saya sebenarnya bukan menyepi cuma mengambil masa untuk berehat kerana tahap kesihatan saya yang tidak begitu baik.
Saya berehat agak lama iaitu kira-kira enam bulan sebaik sahaja GV4 tamat. Namun saya tidak selesa untuk berkongsi tentang penyakit yang saya hidapi kerana ia sudah berlalu dan saya kini sudah sihat sepenuhnya. Alhamdulillah.
Adakah anda sedar bahawa keputusan untuk berehat telah memberi impak terhadap kerjaya anda yang baru sahaja hendak bermula semula selepas GV4?
Saya sedar dan sehingga sekarang masih terasa impaknya apabila tidak menggunakan sepenuhnya kesempatan platform GV4 yang sangat berpengaruh dalam industri. Namun saya juga perlu berlaku adil terhadap tubuh badan sendiri. Jika sakit, saya tidak boleh bekerja. Jadi, saya yakin bila kita sihat dan cergas, lebih senang untuk mengerah tulang empat kerat yang ada dan rezeki ada di mana-mana. Insya-Allah.
Khabarnya anda kini sudah mula berjinak dalam dunia lakonan, boleh kongsikan sedikit berita itu?
Ya, benar. Saya baru sahaja tamat penggambaran telefilem untuk bulan puasa ini bertajuk Tergantung Rindu bersama Wany Hasrita, Tajul,Haqiem Rusli dan Zarul Umbrella.
Ini merupakan percubaan pertama saya sebagai pelakon. Lakonan membuatkan saya tabik hormat kepada mereka yang sudah senior kerana ia adalah kerja yang memerlukan komitmen sangat tinggi.
Apakah cabaran paling sukar yang anda perlu lakukan dalam telefilem berkenaan?
Saya rasa babak paling sukar adalah untuk mengeluarkan air mata kerana saya belum mahir untuk menghayati watak sehingga mampu menangis dengan cepat. Saya beruntung kerana Zarul banyak membantu dalam pembacaan skrip dan penghayatan watak.
Adakah anda akan lebih terbuka untuk menerima tawaran berlakon selepas ini?
Saya tidak tahu lagu. Tawaran yang datang ini juga tanpa dijangka jadi saya sekadar mencuba. Mungkin kalau ada lagi tawaran yang dirasakan menarik, saya akan terima.
Bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian anda?
Menyanyi masih menjadi keutamaan. Cuma, untuk melancarkan single baharu, perkara itu masih dalam perancangan. Setakat ini saya dalam proses memilih lagu yang sesuai. Insya-Allah, saya akan tampil dengan lagu baharu selepas hari raya puasa nanti.