Fitri Haris ungguli GGV2


Kelebihan memiliki pengaruh, kelompok peminat yang ramai dan kemampuan vokal menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi telah meletakkan p enyanyi Fitri Haris sebagai salah seorang peserta kegemaran sejak menyertai program hiburan berkonsep islamik, Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) yang melabuhkan tirainya hujung minggu lalu.

Menunjukkan persembahan konsisten sejak minggu kedua, rezeki ternyata berpihak kepada pemilik nama sebenar, Mohd. Fitri Mohd. Haris itu apabila diangkat sebagai juara GGV2 pada pentas final yang bersiaran dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Sumpah, saya akui sangat terkejut dengan kemenangan ini sampaikan sekarang masih terfikir lagu apa yang mahu dibawa untuk tugasan minggu hadapan (ketawa). Sedangkan ini sudah pun malam final.

“Saya sangat terharu kerana berpeluang menyertai program ini kerana melaluinya, saya telah belajar banyak perkara. Jika sebelum ini saya sudah terbiasa menyanyi bersama kumpulan dan berperanan pada bahagian lagu bernada tinggi sahaja tetapi GGV2 menuntut saya melakukan segala-galanya dengan sendiri. Terima kasih kepada Adeep (Nahar) yang banyak memberi bantuan untuk saya mendalami teknik nyanyian dengan betul,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media sejurus program tersebut berakhir.

Fitri, 33, mengungguli program yang disiarkan di saluran Astro Oasis (106) itu dengan membawa pulang hadiah wang kemenangan bernilai RM100,000 dan sebuah trofi.

Perjuangan

Ironi, kemunculan semula Fitri menerusi GGV2 mendapat respons hangat daripada peminat, sementelah kali terakhir dia aktif menyanyi adalah sekitar tahun 2010 bersama UNIC sebelum mengundurkan diri.

Pernah mengeluarkan beberapa buah single dan album zikir sepanjang lapan tahun lalu, namun perjuangan karier solonya tidak mendapat sambutan.

Mengharap tuah dan rahmat atas kemenangan, bapa kepada seorang cahaya mata itu merangka perjalanan seninya dengan perancangan mahu mengeluarkan lagu baharu selain mengimpikan peluang mengacarakan program pendidikan suatu hari kelak.

“Sekarang saya sedang menghabiskan tempoh pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang kajian muzik dan Islam di Universiti Notthingham, United Kingdom, England yang akan berakhir pada penghujung tahun ini.

“Perancangan saya selepas ini memang untuk kembali aktif menyanyi dan pada masa sama mahu meneroka pelbagai bidang lain seperti lakonan dan pengacaraan memandangkan saya suka mengajar. Menjadi impian dalam hati saya untuk ada sebuah program pendidikan sendiri selepas ini.

“Jadi, saya anggap GGV2 pembuka jalan untuk kembali aktif biarpun niat itu pada asalnya adalah untuk bersama-sama dengan UNIC. Cuma mungkin sekarang mereka sudah ada haluan sendiri. Namun, saya tidak pernah melupakan UNIC kerana secara asasnya ia ditubuhkan oleh saya dan Bazli,” ujarnya berkongsi rasa.

Kemenangan Fitri yang merupakan bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu turut melenyapkan ramalan peminat terhadap seorang lagi peserta kegemaran ramai, Adeep Nahar yang dinobatkan selaku naib juara.

Adeep yang menyampaikan lagu Sedetik Lebih pada pusingan solo dan Al Nuraa.. Yang 5.. Yang 6 (pusingan battle) bersama Fitri sehingga berjaya mencatat kutipan markah sebanyak 89.00 peratus melayakkannya membawa pulang hadiah bernilai RM30,000 dan sebuah trofi.

“Biarpun saya banyak memberi ilmu kepada Fitri, sedikit pun tidak ada penyesalan kerana apa yang diberi itu bukanlah milik saya sepenuhnya, melainkan datangnya dari Allah.

“Apabila orang yang menerima ilmu daripada saya mengucapkan terima kasih, itu sudah cukup memuaskan hati. Fitri sudah memberi yang terbaik dan faktor itulah yang melayakkannya bergelar juara.

“Saya selalu berpegang pada satu perkara ini bahawa rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya yang merupakan anggota kumpulan hip hop terkenal, The Fabulous Cats.

Sementara itu, penyanyi Awi Rafael pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah kemenangan sebanyak RM20,000 dan sebuah trofi, manakala kumpulan InTeam pula menyandang tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Pasangan adik-beradik, Hazwani dan Heliza Helmi serta kumpulan Brothers pula hanya berpuas hati di tempat kelima dan keenam dengan membawa pulang hadiah masing-masing bernilai RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

Malam final yang dikendalikan oleh pengacara Fakhrul UNIC, Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim itu turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi jemputan, Zamani serta kumpulan nasyid legenda dari Singapura, Al Jawaher.

Markah pada malam penentuan GGV2 diadili 100 peratus oleh juri profesional terdiri daripada Farihin Abd. Fatah dan Oki Setiana Dewi serta juri jemputan, Datuk M. Nasir.

Sejak disiarkan pada tahun lalu, GGV menjadi antara program hiburan islamik yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton saban minggu.





Nusantara

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, meskipun berbekalkan pengalaman yang masih baharu, namun GGV tetap mengambil peluang untuk menilai kelemahan dan memperbaikinya pada masa akan datang.

“Tanda aras kami untuk masa hadapan adalah dengan melibatkan penyertaan lebih ramai peserta Nusantara seperti dari Indonesia, Singapura dan Brunei, memandangkan penerimaan yang diterima setakat dua tahun penganjuran sangat menggalakkan.

“Meskipun masih terlalu awal untuk mengumumkan perancangan musim ketiga, bahagian produksi GGV sentiasa mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat dan penonton bagi menghidupkan industri nasyid,” katanya.

Berbicara tentang tiga pemenang teratas yang didominasi peserta solo, Farihin selaku juri mengulas, ia sesuatu yang luar jangkaan kerana terdapat beberapa faktor kerohanian yang boleh dilihat sebagai nilai tambah untuk mereka menyerlah sepanjang program berkenaan.

“Ia tidak dapat dirungkai oleh akal fikiran kita. Sebagai contoh, Fitri berkata, ibu dan bapanya tidak pernah lupa untuk solat hajat setiap kali dia melakukan persembahan setiap minggu. Sementara Adeep pula akan membaca selawat dan membaca ‘bismillah’ sebelum naik ke pentas.

“Jadi, faktor-faktor kerohanian seperti ini tidak boleh diragui peranannya dalam konsep kehidupan manusia kerana kebergantungan pada Tuhan adalah penyebab paling besar kepada kejayaan seseorang manusia,” jelasnya.

Kali terakhir beraksi sebagai penyanyi adalah pada 2010 bersama bekas kumpulannya, UNIC. Namun, kemunculan semula Fitri Haris sebagai peserta dalam Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) mengubah dan membuka semula haluan kariernya untuk bergerak aktif selaku penyanyi solo selepas dijulang sebagai juara pada pentas final yang berlangsung baru-baru ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post