
Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil mendedahkan bahawa namanya telah digam kerana kelantangan bersuara terhadap kerajaan terdahulu.
Menurut Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, dia baru sedar namanya digam sejak awal tahun ini.
"Sejak Januari lalu baru saya perasaan semua ini berlaku. Bukan stesen TV yang gam tetapi pihak produksi. Mereka takut saya tak dapat bagi komitmen sebab takut ada sekatan-sekatan terhadap saya.
"Ada juga produksi yang belum melangsaikan bayaran penuh kepada saya biarpun drama sudah habis ditayangkan. Alasannya sebab saya terlalu lantang bersuara.
"Selain itu ,bermula dengan pingat Datuk yang saya dapat dan kes mahkamah, semua ini antara kesinambungan apa yang berlaku,” kata Farid.
Tambah Farid lagi, baru dia tahu bahawa perubahan tidak didokongi oleh banyak kawan-kawan.
"Oleh itu saya kini berhati-hati berkawan dan siapa yang betul-betul kawan," katanya.
Dalam kemelut yang dihadapinya kini, Farid akui dia tertekan tetapi tekanan itu dianggap sebagai salah satu perjuangan. Kini Farid rasa puas apabila Pakatan Harapan menang.
Farid ditemui dalam majlis ramah mesra penggiat seni dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Restauran Dapoq Che Jun, Stesen Kereta api Kuala Lumpur pada Rabu.