
Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya Mohd Amin menafikan popularitinya semakin merudum berbanding ketika menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.
Farah, 34, berkata, dakwaan ini tidak berasas kerana populariti dalam seni masih kekal bertahan dan mempunyai peminat sehingga sekarang.
“Mungkin itu pandangan orang luar sahaja tetapi bagi saya sendiri, rezeki saya masih sama seperti ketika keluar GV dan apa yang boleh saya katakan, ia adalah detik yang paling bagus saya kecapi dalam karier.
“Orang luar mungkin tidak duduk dengan saya dan nampak kesibukan saya dalam seni. Saya banyak menjayakan persembahan untuk majlis tertutup dan korporat yang tiada publisiti di media cetak dan elektronik.
“Jadi, mungkin kerana inilah timbul cerita begini. Alhamdulillah...rezeki saya sentiasa ada dan tidak pernah putus,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, segala-galanya masih sama dan dia masih mempunyai kelab peminat sentiasa menyokong aktiviti seninya setiap masa.
“Setiap tahun kami buat perjumpaan dan pada bulan Ramadhan pula akan buat majlis berbuka bersama-sama. Saya tidak nampak apa yang berubah sekarang.
“Dan kalau bercakap berkenaan populariti, ia bukanlah matlamat utama saya sekarang. Ia langsung tidak menganggu saya kerana nama saya pun sudah dikenali. Jadi tidak perlulah saya terkinja-kinja seperti nak bermula dulu.
“Saya tidak perlukan publisiti murah dan benda-benda bodoh yang nak diberi perhatian. Saya cuba menjauhkan diri daripada benda-benda begini dan sekiranya orang bertanya, saya memang enggan bercakap,” katanya yang sudah lebih 14 tahun bergelar anak seni.
Bagi penyanyi lagu popular Bertakhta Di Hati ini, keutamaannya ialah pada karier dan dia gembira kerana sudah menyiapkan single terbaru yang akan dikeluarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Single ini berjudul Pujangga dan sudah disiapkan sepenuhnya. Lagunya ciptaan Bulan manakala lirik pula oleh Bintang.
“Kedua-duanya orang baru dalam bidang seni tetapi saya pilih mereka kerana lagu ini ada keistimewaan tersendiri. Saya juga bercadang menghasilkan muzik video lagu ini nanti,” katanya.