Farah Idayu tidak mahu lenyap lagi


Farah Idayu mengaku jarang tampil di kaca televisyen, namun single terbaharunya, Ganti Diriku kini menjadi runut bunyi dalam drama rantaian Nur.

Nama bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Idayu pernah hilang seketika daripada radar industri seni selepas tamatnya program realiti itu pada 2005.

Bagaimanapun, ibarat mendapat peluang kedua, pemilik nama Farah Idayu Yaakob, 32, dinobatkan sebagai Juara AF Megastar 2017 pada Oktober tahun lalu.

Peluang tersebut membolehkan pelantun lagu Selamanya kembali menyinari industri seni selain mengukuhkan kedudukan dan bersaing dengan penghibur sedia ada.

Ikuti temu bual bersama Idayu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Akademi Fantasia di Hotel Palace of The Golden Horses, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Jika dilihat selepas menjuarai AF Megastar 2017, nama Idayu seakan kembali senyap. Boleh berikan komen?

IDAYU: Saya akui situasi apabila nama kembali suram selepas program realiti yang disertai berakhir tetapi sebenarnya saya tidak senyap. Saya kini sibuk menyiapkan album terbaharu yang dijanjikan buat peminat. Selain itu, jadual undangan membuat persembahan juga sangat padat.

Mungkin anda jarang dilihat muncul di televisyen yang menyebabkan khalayak berfikiran begitu?

Ramai juga yang berpendapat begitu. Sememangnya saya jarang muncul di kaca televisyen kerana memberi fokus untuk menyiapkan album.

Bagaimanapun, saya ada juga muncul seperti di program Ceria Megastar baru-baru ini. Saya perlu ‘menyelit’ seperti itu bagi memastikan tidak lagi dilihat hilang selepas ini.

Walaupun kemunculan tidak kerap tetapi sekurang-kurang generasi muda sekarang mengenali saya itu pun sudah cukup. Saya tidak mahu meminta lebih.





Boleh kongsikan perkembangan album terbaharu?

Jika tiada aral, album yang berkonsepkan R&B balada tersebut bakal dikeluarkan pada penghujung tahun ini. Album tersebut memuatkan tujuh hingga lapan lagu dan terdapat sebuah lagu duet bersama seorang pelakon lelaki.

Bagaimanapun, saya tidak boleh berkongsi butirannya buat masa ini kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

Malah, ada juga peminat yang meminta saya berduet dengan penyanyi Ernie Zakri tetapi dia mempunyai perancangan tersendiri. Jika berkesempatan kami akan memenuhi permintaan peminat.

Jika dilihat pada masa kini trend mengeluarkan single berbanding album penuh menjadi pilihan kebanyakan penyanyi. Mengapa Idayu memilih untuk mengeluarkan album berbanding single?

Sebenarnya saya sudah menghasilkan tiga single dan terbaharu berjudul Ganti Diriku yang menjadi runut bunyi bagi slot Samarinda TV3 berjudul Nur.

Sebelum ini, saya sudah menghasilkan dua single berjudul Selamanya dan Di Sini yang diangkat sebagai runut bunyi bagi drama rantaian bertajuk Monalisa. Oleh sebab itu, saya memilih untuk menghasilkan album penuh selepas ini.

Boleh ceritakan sedikit berkenaan projek meniru vokal, Mimic Stars oleh Idayu?

Mimic Stars merupakan projek secara suka-suka kerana saya tidak mahu lagi hilang dalam industri. Projek itu dilakukan apabila saya mempunyai masa lapang dan disiarkan menerusi laman perkongsian video YouTube.

Setakat ini, saya sudah merakamkan lebih 30 suara penyanyi terkenal dan masih berbaki 10 lagi suara yang bakal dirakamkan. Selepas itu, saya memilih untuk merehatkan program itu seketika.

Selain menyanyi, Idayu juga aktif sebagai guru vokal. Ada atau tidak artis lain yang mendapatkan khidmat anda untuk mempelajari teknik vokal?

Sejujurnya saya mempunyai 28 pelajar termasuk tujuh rakan artis yang mempelajari teknik vokal bersama saya. Saya tidak kisah siapa pun pelajar saya kerana gemar berkongsi ilmu. Malah saya juga tidak berasa kekok mengajar rakan artis lain yang mahu belajar.

Pada kebiasaannya saya akan mengajar vokal tiga kali dalam seminggu dan oleh sebab itu, masa saya agak terhad kerana perlu membahagikan antara nyanyian dan mengajar kelas vokal.
Mengenai perancangan sepanjang Ramadan, adakah Idayu akan berehat?

Bulan Ramadan pada tahun ini saya memilih untuk bekerja seperti biasa. Bagaimanapun, saya lebih fokus kepada mengajar vokal pada bulan mulia ini kerana tawaran untuk mengadakan persembahan juga kurang ketika Ramadan.

Post a Comment

Previous Post Next Post