Diva kalau ada masa, barulah dapat duduk di depan televisyen menonton drama-drama Melayu. Itupun biasanya dapat dilakukan pada hari hujung minggu sahaja.
Jika hari bekerja, biasanya sampai sahaja rumah terus hempas badan ke katil. Maklumlah letih kerja seharian. Jadi adakalanya, banyak juga drama yang orang sibuk bercerita sesama sendiri Diva tak berapa pasti.
Cumanya, baru-baru ini Diva dapat tahu pelakon Faezah Elai memuat naik status yang cukup panjang lebar. Apabila diselidik, rupa-rupanya ia berpunca daripada status Twitter seorang netizen yang mengecam drama bersiri Cinta Fatamorgana yang dikatakan jalan cerita seperti tak masuk akal.
Ingatkan pada mulanya Faezah marah sebab lakonannya dikecam, sebaliknya dia naik berang kerana cerita itu merupakan karya arahan suaminya, Heykal Hanifah. Patutlah Faezah bersuara.
Tak silap Diva netizen itu mempertikaikan jalan cerita yang menonjolkan kisah isteri orang dilarikan. Katanya jalan cerita seperti itu memalukan orang Melayu sahaja. Siap disuruh dihentikan tayangan drama sedemikian.
Faezah kemudian cuba perjelaskan rasional jalan ceritanya itu bagi menjawab kritikan netizen. Bagaimanapun, ramai yang kata ada nada-nada bengang dengan tulisan Faezah itu. Maklumlah, kadang-kadang apa yang kita buat ini tak semua orang suka. Macam Faezah beritahu, jika tidak suka boleh tukar saluran lain sahaja.
Apa-apa pun Diva harap tidaklah berpanjangan serang balas netizen di laman sosial nanti. Maklumlah bulan puasa ini bukan mulut je kena tahan daripada makan minum, tapi perlakuan dan tingkah laku pun kena ‘puasa’ sama.
Diva: Ayda Jebat nafi hilang aura, katanya dia masih relevan dalam bidang nyanyian.