Selepas enam tahun tidak tampil dengan sebarang album baharu, penyanyi Awi Rafael mengakui begitu teruja menantikan kelahiran album ketiganya, Euphoria yang bakal dilancarkan sekitar Jun depan.
Lain daripada album-album terdahulu, kata Awi, buah tangan terbaharunya ini cenderung kepada konsep Islamik di mana hampir kesemua lirik-lirik yang dibawakan untuk album ini mengandungi mesej positif.
“Bila sebut berkonsepkan Islamik, ramai yang membayangkan album terbaru Awi ini adalah album nasyid dan ketuhanan.
“Ingin Awi jelaskan, album ketiga Awi ini masih menampilkan konsep pop dan catchy sebagaimana lagu-lagu sebelum ini, cuma dari segi lirik dan mesejnya sahaja yang cenderung kepada Islamik.
“InsyaALLAH semua lagu yang dimuatkan dalam album ini merupakan lagu-lagu baharu, sementara single Awi sebelum ini akan diselitkan sebagai bonus track,” katanya yang turut berkolaborasi dengan beberapa penyanyi lain dalam album ini.
Menurut Awi, album ini melalui proses pembikinan yang agak lama iaitu lebih setahun kerana mahu benar-benar memastikan apa yang ditampilkan dalam album kali ini berbeza dengan albumnya yang terdahulu, Awi Rafael (2011) dan Asalkan Aku OK! (2012).
Apatah lagi apabila Awi sendiri mempunyai misi tersendiri untuk album ini yang mana selain untuk menghiburkan, penyanyi asal Singapura ini mahu pendengar mendapat sesuatu daripada lagu-lagu yang ditampilkan.
“Sampai satu ketika, Awi terfikir buat apa kalau lagu popular dan menjadi sebutan ramai, tetapi dari aspek yang lain lagu itu tidak memberikan apa-apa impak yang positif kepada pendengar.
“Kesedaran itu membuatkan Awi cuba nak ubah dan buat sesuatu yang baharu. Setahun yang lepas ketika menghasilkan album ini, Awi banyak menyendiri dan merenung kembali apa yang telah dijalani sebelum ini.
“Alhamdulillah selepas itu, Awi tampil dengan semangat dan misi yang baharu di mana Awi mahu memberi lebih kepada pendengar dan bukan semata-mata hiburan,” katanya pemenang tempat ketiga Gema Gegar Vaganza musim kedua ini.
Sebelum ini Awi juga tampil dengan single Kau Di Hatiku menerusi kolaborasi bersama Altimet yang didedikasikan khas untuk pesakit-pesakit kanser.