Jika sebelum ini, pelakon Alif Satar dan Siti Nordiana pernah mencipta populariti menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey. Penangan gandingan mereka berdua dikatakan cukup menjadi apabila drama itu mencatatkan rating tinggi dalam kalangan penonton.
Buktinya, bukan setakat di peringkat drama sahaja, sebaliknya drama itu juga diangkat ke pentas teater di Istana Budaya dalam versi muzikal.
Selepas kejayaan drama tersebut, sekali lagi pada tahun ini mereka muncul bersama menerusi sebuah karya baharu berjudul Klik! Pengantin Musim Salju. Semestinya gandingan mereka berdua antara yang dinanti-nantikan dalam karya arahan sutradara Hadith Omar.
Tidak dinafikan, ada yang beranggapan karya yang diadaptasi daripada novel ini disifatkan sebagai kesinambungan daripada drama Dia Semanis Honey. Hakikatnya, drama bersiri 20 episod ini merupakan sebuah naskhah baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan karya gandingan mereka terdahulu.
Bagi pengarah Hadith, dia mengakui terdapat tanggapan sedemikian dalam kalangan penonton, khususnya bagi mereka yang belum pernah membaca karya asal novel tersebut.
“Memang ada yang menyangkakan ia karya kesinambungan daripada Dia Semanis Honey disebabkan kita mengekalkan gandingan hero dan heroin yang sama.
“Bagaimanapun, kita juga banyak memaklumkan dan memuat naik status Twitter untuk memberitahu bahawa ia merupakan sebuah jalan cerita baharu dan berbeza,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Hadith, pembikinan drama bergenre romantik komedi ini berdepan dengan cabaran tersendiri. Paling ketara sekali, katanya drama yang ditayangkan di saluran Astro Ria itu menjalani penggambaran di bumi Jepun pada musim sejuk.
“Antara lokasi proses penggambaran dijalankan termasuklah di Sapporo, Hokkaido pada musim sejuk lalu.
“Jadi, menjadi satu cabaran buat kami tenaga produksi untuk melakukan penggambaran pada keadaan cuaca yang terlalu sejuk sehingga mencecah negatif 14 darjah Celsius. Paling sukar apabila babak jalan cerita itu dilakukan di luar dengan salji tebal,” ceritanya yang memberitahu, berada selama lapan hari di Negara Matahari Terbit itu.
Menurut Hadith lagi, menariknya dalam drama itu nanti, penonton berpeluang menyaksikan sisi berbeza dalam penampilan karakter yang dijayakan Siti Nordiana yang membawakan watak sebagai Kaseh Lateefa.
Katanya, dalam naskhah ini, watak Kaseh Lateefa ini memberi satu cabaran kepada Siti Nordiana sendiri apabila perlu memaparkan sisi wanita bersifat tomboi.
“Uniknya, kali ini kita tonjolkan Siti Nordiana yang merupakan seorang jurugambar. Dalam cerita ini dia merupakan seorang wanita yang mempunyai karakter kasar seperti lelaki.
“Secara zahir, pembawaan watak itu mungkin agak terhad dengan imej Siti Nordiana yang berhijab, tetapi dia berjaya menyahut cabaran itu membawakan watak sedemikian,” kongsinya.
Klik! Pengantin Musim Salju ini memaparkan kisah seorang jurugambar, Kaseh Lateefa yang bersetuju untuk menjadi isteri olok-olok kepada Adam (lakonan Alif Satar). Peluang itu dianggap sebagai masa terbaik Kaseh untuk menjauhkan diri daripada lelaki bernama Irhan yang mahu dijodohkan dengannya.
Bagaimanapun, semasa di Jepun untuk diperkenalkan kepada ahli keluarganya, dalam diam kasih mereka mula berputik. Malangnya, sekembali ke tanah air, mereka berdepan dengan pelbagai konflik.
Drama ini turut menampilkan pelakon Nina Juren, Atikah Suhaime, Adam Lee, Dafi, Norlia Ghani, Ardell Aryana dan Cik Manggis.