Zul Ariffin tak terkesan isu gambar alat sulit


Minggu lalu, kecoh dalam laman sosial apabila pelakon Zul Ariffin didakwa berkongsi gambar alat sulitnya menerusi aplikasi Instagram.

Gambar yang dimuat naik pada ruangan Instagram Story tersebut tersiar selama sekitar dua minit sebelum ia dipadam sendiri oleh pelakon filem J Revolusi itu daripada terus menjadi tontonan dua juta pengikutnya.

Zul yang sedar mengenai perkara tersebut terus bertindak dengan memadam gambar berkenaan sambil memuat naik status memberitahu akaunnya telah digodam.

Biarpun Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin telah memberi kenyataan dan menafikan gambar tersebut bukan miliknya namun, masih ada pengguna media sosial yang kurang berpuas hati dan mahu mendengar keterangan lanjut daripada aktor berusia 32 tahun itu.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pertunjukan fesyen PrimaValet yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zul sekali lagi menegaskan bahawa akaun Instagramnya telah menjadi mangsa godam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Zul, dia juga sedar tentang kepentingan menjaga kerahsiaan kata laluan platform media sosial dan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kebarangkalian pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Zul turut berkongsi tentang kehidupannya selepas putus cinta dengan pelakon Zahira Macwilson selain memberi reaksi berkenaan gambarnya bersama Elizabeth Tan yang dimuat naik oleh Fathia Latiff sehingga menimbulkan kekecohan.





KOSMO!: Zul, bagaimana keadaan anda sekarang selepas gambar alat sulit yang didakwa milik anda tular di internet?

ZUL: Saya baik-baik sahaja. Cuma saya diberi ‘perhatian’ lebih sedikit oleh masyarakat. Selain pihak media, rakan-rakan di lokasi penggambaran banyak bertanya kepada saya secara terus mengenai gambar tersebut. Sehingga ketika membeli makanan secara pandu lalu pun pelayan restoran senyum kepada saya.

Boleh ceritakan bagaimana anda menyedari tentang gambar tersebut?

Sejujurnya, saya bukanlah orang pertama yang menyedari tentang gambar tersebut. Seorang kawan menghubungi saya dan memberitahu ada gambar sedemikian di Instagram Story saya.

Pernah berkongsi kata laluan Instagram dengan sesiapa?

Ada beberapa orang yang saya percayai tahu kata laluan Instagram saya, termasuklah individu yang mengelolakan kelab peminat. Saya berkongsi kata laluan dengan mereka kerana bimbang jika sebarang perkara berlaku kepada telefon bimbit. Saya percayakan mereka.

Adakah anda akan membuat laporan polis mengenai perkara ini?

Kemungkinan besar tidak. Saya sendiri tidak tahu siapa punya angkara, jadi mustahil untuk saya membuat laporan polis. Lagipun, saya rasakan isu ini sangat lucu dan ia sama sekali tidak mencalarkan imej saya sebagai seorang pelakon.

Apakah langkah-langkah selanjutnya yang anda akan lakukan bagi mengelak perkara sebegini berulang?

Selepas apa yang berlaku, saya akan lebih berhati-hati. Orang kata, jika akaun diluluskan secara rasmi oleh Instagram dan mempunyai tanda biru di tepi nama, akaun tidak akan digodam.

Namun, cakap-cakap itu tidak betul sama sekali. Bukan saya seorang tetapi orang lain juga patut mengambil pengajaran daripada isu ini.

Apakah komen anda jika ada peminat yang menyimpan gambar yang didakwa sebagai alat sulit anda itu?

Terpulang tetapi gambar itu bukanlah gambar yang baik untuk disimpan.

Beralih pula pada gambar anda dan Elizabeth Tan yang dimuat naik oleh Fathia Latiff baru-baru ini. Ada yang mengatakan pelakon Ariana Rose itu sengaja melaga-lagakan kalian kerana anda baru putus cinta. Disebabkan kapsyen Fathia pada gambar tersebut kalian dikatakan bercinta. Adakah telahan khalayak benar mengenai perkara berkenaan?

Mengenali Fathia, dia akan memuat naik apa sahaja mengikut kehendaknya. Jadi, saya tidak kisah mengenai isu ini. Lagipun, saya mengenalinya dan dia merupakan seorang rakan artis yang baik.

Berkenaan gambar bersama Elizabeth pula, kami sedang menjalani penggambaran filem Misteri Dilaila dan kebetulan, saya perlu melakonkan babak bersama dia yang telah ditembak.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 7 pagi dan kami semua sedang mengantuk. Jadi, untuk menceriakan keadaan, kami pun berswafoto bersama.

Bagaimanakah kehidupan anda selepas putus cinta dengan Zahirah?

Lebih gembira terutama kini saya tidak perlu meminta kebenaran daripada sesiapa jika mahu melakukan sebarang perkara.

Post a Comment

Previous Post Next Post