Pelakon Zahirah Macwilson sedikit pun tidak berminat menjadikan gosip cinta bagi melariskan mana-mana drama dibintanginya.
Zahirah berkata, menerusi drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang menggandingkannya dengan Syafiq Kyle baru-baru ini menjadi bukti dia berjaya menambat hati penonton tanpa perlu menjaja kisah cinta lokasi.
“Saya dan Syafiq sangat profesional di lokasi penggambaran. Drama ini adalah gandingan pertama saya dengan Syafiq. Saya tak sangka ia menjadi perhatian dan menjadi trending di Twitter hampir setiap hari.
“Saya juga gembira apabila nama kami tidak dikaitkan sebarang gosip cinta dan masih ramai orang memberi reaksi yang gandingan kami berjaya membuatkan mereka terpikat dengan Tak Ada Cinta Sepertimu.
“Saya gembira kerana tak perlu ada sebarang gosip cinta untuk ‘menjual’ drama bersiri ini. Alhamdulillah, drama ini berjaya meniti bibir peminat dan ramai yang mahukan gandingan kami untuk projek lain selepas ini,” katanya.
Zahirah ketika ditemui pada majlis pelancaran barangan kemas Tous di Putrajaya, baru-baru ini mengaku tidak kisah bergandingan dengan mana-mana hero asalkan naskhah yang ditawarkan mempunyai kualiti dan mampu mewarnai portfolio seninya.
“Alhamdulillah, tahun ini bermula dengan baik. Saya bersyukur kehadiran diterima ramai dan mendapat tawaran demi tawaran.
“Saya tidak akan berhenti berusaha dan mahu terus memilih watak yang berkualiti untuk dijayakan. Saya juga tak kisah bergandingan dengan mana-mana hero, asalkan karakter yang dijayakan itu mampu mencantikkan profil sebagai seorang pelakon,” katanya.
Ditanya mengenai kisah cinta dengan pelakon Zul Ariffin yang terlerai lebih sebulan lalu, Zahirah menegaskan dia tidak akan membuat pusingan U iaitu kembali kepada bekas kekasihnya itu.
“Tak mungkin saya kembali menerimanya. Saya masih muda dan perjalanan jauh lagi dalam bidang ini. Saya tidak mahu perkara ini mengganggu perjalanan hidup.
“Saya sudah ‘move on’, malah putus cinta tidak buat saya lemah dan patah semangat. Saya pernah tengok ibu bapa saya bercerai, inikan pula putus cinta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahirah sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Benci Cintaku terbitan Suhan Movies.
Drama itu dijangka menemui penonton slot Akasia, terbitan TV3, Jun depan.
Ia menyaksikan Zahirah digandingkan bersama Saharul Ridzwan dan turut menjalani penggambaran beberapa babak di Perth, Australia.