Si Comel Pipi Merah buat Kavitha Sidhu teringin


Pelakon dan model terkenal, Kavitha Sidhu mengakui dia merancang untuk membuat rawatan kesuburan 'In Vitro Fertilization (IVF) jika masih gagal untuk mendapatkan cahaya mata ketika ini.

Menurut Kavitha, 46, buat masa ini, doktor memberitahu dia dan suami, Roberto Guiati, 38, juga sihat dan tidak ada masalah untuk memiliki anak.

"Rumah tangga kami bahagia sepanjang tempoh dua tahun berkahwin. Kami sudah bersedia untuk memiliki anak tetapi nampaknya masih belum ada rezeki lagi.

"Walaupun usia saya sudah penghujung 40-an, doktor memberitahu, kami masih boleh memiliki anak dengan cara semulajadi asalkan kami berdua sihat dan tidak ada sebarang masalah kesihatan.

"Kami berdua juga sihat dan sering bersenam di gimnasium untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai rawatan IVF pula, kata Kavitha, ada rakan dan ahli keluarga yang mencadangkan dirinya untuk membuat rawatan kesuburan itu untuk mendapatkan anak.





"Saya memang ada terfikir untuk melakukan rawatan IVF itu nanti. Pada masa sama, saya juga mendapat inspirasi untuk melakukan rawatan IVF selepas melihat penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza berjaya mendapatkan anak iaitu Siti Aafiyah Khalid (Si Comel Pipi Merah) selepas menanti selama 11 tahun.

"Bukan saja IVF, saya percaya dengan kecanggihan teknologi sekarang untuk membantu pasangan terutama yang bermasalah untuk mendapat cahaya mata.

"Namun, jika rawatan yang dilakukan tidak berjaya, kami juga mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat untuk melengkapkan kebahagiaan rumah tangga," katanya.

Bagaimanapun, kata Kavitha, buat masa ini, dia dan suami sibuk menguruskan karier dan bisnes masing-masing.

"Suami saya berasal dari Itali tetapi sudah menetap di Malaysia dan mengusahakan restoran makanan Itali.

"Saya pula memiliki butik yang beroperasi di Bangsar. Pada masa sama, saya masih terbabit dalam bidang penerbitan TV dan filem," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post