The Rock, gergasi Hollywood


Buat peminat tegar perlawanan gusti World Wrestling Entertainment (WWE), setiap kali mendengar seruan nama The Rock dengan cogan kata If You Smell What The Rock Is Cooking, pasti tergambar kehebatan ahli gusti ini, bukan sahaja di gelanggang tetapi karismanya sebagai seorang lelaki maskulin yang kemudiannya bergelumang sepenuh masa dalam dunia lakonan.

Dwayne Douglas Johnson, 45, atau The Rock kini bukan sahaja seorang pelakon yang menjadi buruan ramai pengarah dan penerbit ternama.

Dia menggunakan bakatnya secara maksimum dalam cabang seni yang lain. Hasilnya, jenama The Rock begitu sinonim dalam kalangan peminat termasuk di Malaysia.

Sedar tentang hal itu, Johnson yang muncul menerusi naskhah terkini lakonannya, Rampage, telah ‘membeli jiwa’ peminat Malaysia dengan memuat naik sebuah video sambil berbahasa Melayu yang mengajak peminat menyokong filem arahan Brad Peyton itu.

Selain menanti respons peminat terhadap filem yang diadaptasi daripada permainan video itu, dia juga sedang menghitung hari untuk menimang cahaya mata ketiga hasil hubungan dengan Lauren Hashian.

Sebelum ini, Johnson pernah berkahwin dengan Dany Garcia pada 1997, namun bercerai 10 tahun kemudian. Bersama Garcia, dia dikurniakan dua orang anak perempuan yang kini membesar jelita, Simone Alexandra dan Jasmine.

Justeru, kembali bergelar bapa buat kali ketiga, semestinya situasi tersebut menghadirkan perasaan luar biasa dalam benak hati lelaki itu.

“Simone dilahirkan ketika saya berusia 29 tahun. Lelaki akan terus menjadi matang apabila kehidupan terus bergerak. Siapa sangka, pada usia sekarang, saya masih lagi diberikan peluang untuk menjadi bapa,” katanya dalam satu wawancara dalam majalah terkemuka, Rolling Stone.

Ditanya sama ada anak perempuan yang dijadualkan lahir pada hujung bulan nanti sudah mempunyai nama spesifik, jawab Johnson: “Ya, saya dan Hashian sudah memikirkannya dan bakal menamakan bayi nanti sebagai Tia. Bagi saya ia satu nama yang indah tetapi ringkas.”

Kongsinya lagi, dia pernah berborak dengan rakannya, Emily Blunt ketika menjalani penggambaran filem Jungle Cruise dan meminta pandangan berkenaan nama anak pilihannya.

“Saya tanya Blunt, apa pendapatnya tentang nama Tia. Dia balas kepada saya, ‘tiada siapa akan berani mempermainkan Tia anak kepada Dwayne Johnson (ketawa),” katanya yang pertama kali memegang watak utama dalam filem menerusi The Scorpion King pada tahun 2002.

Presiden AS
Beberapa tahun dari sekarang, Amerika Syarikat (AS) bakal mengadakan pilihan raya bagi memilih presiden baharu tahun 2020. Biarpun tarikh mengundi masih jauh, namun nama Johnson disebut sebagai figura yang bakal bertanding merebut jawatan tertinggi negara Uncle Sam berkenaan.

Spekulasi tersebut tambah kukuh ekoran kenyataannya menerusi laman Instagram pada 27 Julai tahun lalu.

Dia seperti memberi bayangan dan reaksi positif terhadap laporan majalah TIME mengenai isu pencalonannya sebagai calon Presiden AS. Dia mengucapkan terima kasih kepada media dan seluruh pihak yang menyokongnya.





“Terima kasih TIME. Saya mengucapkan terima kasih atas idea tersebut dan mendapat sokongan yang sangat nyata. Jika Donald Trump boleh jadi presiden, saya juga boleh. Malah, mampu jadi yang lebih baik daripada dia.

“Beberapa tahun dari sekarang jika saya mampu melangkah menjadi pemimpin yang kuat, berpengaruh dan asli bagi masyarakat dan negara, saya akan (menjadi presiden).

“Menjadi presiden adalah suatu tanggungjawab besar dan memerlukan pengetahuan yang luas,” tulisnya.

Dia kini mula serius mempertimbangkan usaha untuk ke fasa pencalonan sebagai presiden. Pengakuan tersebut diungkap ketika Johnson menjadi tetamu program bual bicara Ellen DeGeneres Show.

“Saya serius untuk mempertimbangkan idea itu sekarang. Ya! Saya teruja dan rasa perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk saya sekarang, berikan saya masa untuk belajar ke arah menjadi presiden,” tuturnya yakin.

Musuh Vin Diesel
Bercerita tentang dunia Hollywood, Johnson yang sekian lama menjayakan watak utama francais filem Fast and Furious turut mengulas tentang kesahihan cerita dia tidak lagi akan muncul dalam sekuel selanjutnya, Fast And Furious 9.

Dia mengesahkan perkara tersebut. Meskipun tidak terlibat dalam Fast and Furious 9, ironinya Johnson juga tidak akan meninggalkan filem tersebut.

Sebaliknya, dia akan menumpukan perhatian untuk menjayakan filem spin-off (memilih satu watak yang kuat untuk dikembangkan) bersama seorang lagi pelakon, Jason Statham.

“Diesel dan saya telah berbincang dan kami mempunyai banyak percanggahan falsafah tentang bagaimana pembikinan sesebuah filem sepatutnya berjalan.

“Saya tidak pasti ingin berlakon dalam Furious 9. Sekarang, saya memberi tumpuan untuk filem spin-off yang mungkin berjudul Hobss and Shaw bersama Statham.

“Namun, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Diesel,” kata pelakon itu.

Konflik antara Johnson dengan pihak penerbitan Fast and Furious dikatakan mula tercetus selepas tindakannya mengkritik Diesel sebagai tidak berkelakuan profesional.

Meskipun tidak mendedahkan sebarang nama dalam kritikan tersebut, namun menurut Rolling Stone, khalayak tahu ia ditujukan kepada Diesel yang dikatakan sering tiba lambat ke lokasi penggambaran sehingga menyebabkan penggambaran tertangguh.

Dwayne Johnson atau The Rock merupakan antara aktor yang menerima bayaran tertinggi di dunia. Empayar seninya bukan dibina hanya dalam satu malam. Bermula sebagai seorang ahli gusti dan kini pelakon kesayangan ramai, lelaki berbadan sasa itu berbicara mengenai keterujaan bergelar bapa, perseteruan dengan Vin Diesel dan khabar angin bakal bertanding kerusi Presiden Amerika Syarikat tahun 2020.

Post a Comment

Previous Post Next Post