Sebagaimana makna terkandung dalam lirik Kawan Setia nyanyian Datuk DJ Dave, begitulah fitrah hidup kita tidak mudah mencari kawan setia kerana acap kali terjadi kawan disangka setia itu menjadi api dalam sekam membakar diri kita sendiri.
“Sukarnya mencari kawan yang setia yang sanggup menolong di masa kau susah Kawan waktu senang tak payah kau cari-cari di mana saja mudah kau jumpa”
Bagi DJ Dave dalam meniti usia 70 tahun, kawan yang hadir dalam hidupnya ada pelbagai ragam dan emosi, oleh itu apabila lagu Kawan Setia diberi nafas baru dalam album Nada Seni Ritma Negara, ia mempunyai signifikasi bermakna dalam hidupnya sebagai anak seni.
“Lagu Kawan Setia itu refleksi sebenar dalam hidup saya sebagai warganegara Malaysia. Jika usia lagu Kawan Setia itu hampir 40 tahun, percaya atau tidak saya mempunyai sembilan kawan baik sejak kami bersekolah di Tanjung Malim, Perak dan sampai sekarang kami masih berhubung.
“Bayangkan sudah 55 tahun kami bersahabat. Setiap enam bulan kami berjumpa di Port Dickson, minum dan makan bersama,” katanya.
Dalam kalangan sahabat DJ Dave itu ada pelbagai keturunan dan agama malah profesional antaranya pensyarah, juruterbang TUDM serta doktor.
Ada menetap di Belanda dan Australia namun kawan di England meninggal dunia tahun lalu.
“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama ini di Malaysia ini, ketulusan dalam persahabatan itu amat penting,” katanya.
Lagu Kawan Setia ciptaan S Atan dan lirik Allahyarham Haron Abdulmajid menjadi begitu bermakna dalam diri DJ Dave apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memetik bait lirik itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 sehingga tercetus inspirasi di pihak Pejabat Penasihat Perdana Menteri untuk memperkembangkan lagi demi menyemai nilai kesetiaan dalam kalangan masyarakat kita.
Amanah itu digalas Yayasan Mustika Kasih (YMK) dan Yayasan Perdana Ummah (YPU) lalu S Atan dipertanggungjawab menggubah semula lagu Kawan Setia serta Negaraku Tercinta itu.
Lebih bermakna selain susunan muzik diberi nafas baru (setiap satu lagu diiringi tujuh instrumen) lirik lagu Negaraku Tercinta diperkemaskan bersama oleh Penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Prof Dr Khairil Annas Jusoh.
“Atas keprihatinan Perdana Menteri memetik bait Kawan Setia dalam ucapan beliau, ia memberi makna besar dalam hidup saya, hanya syukur saja dapat diluahkan dan terima kasih kepada beliau,” katanya.
Menyingkap ucapan Najib itu, ia bak serampang dua mata bagaimana kawan menikam dari belakang dan pada waktu sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi diterjemahkan sebagai memiliki kesetiaan seorang kawan yang dicari-cari.
Majlis pelancaran album khas itu dihadiri Khairil Annas selaku Pengerusi YMK dan Pengerusi YPU Datuk Rizal Mansor selain 25 penggiat seni tanah air yang menerima sumbangan.
Ketika berucap, Khairil Annas menyifatkan lagu Kawan Setia membawa pengertian amat mendalam mengenai falsafah hidup betapa pentingnya kawan serta persahabatan yang setia setiap daripada kita dalam menjalani kehidupan.