Lufya Omar Dia ugut nak duit


Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, 33, kini lebih berhati-hati dalam menjaga privasi laman Instagramnya selepas digodam oleh warga asing, bulan lalu.

Menurut Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar, insiden itu menyebabkan kesemua gambar dalam akaun media sosial miliknya itu dipadam.

“Saya kecewa apabila semua gambar-gambar dalam Instagram saya dipadam.

“Lebih menyedihkan, saya tidak menyimpan gambar-gambar itu di tempat lain kerana bagi saya, Instagram adalah album gambar dan menyimpan banyak memori,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, penggodam yang dipercayai warga Iran itu turut menghubunginya menerusi panggilan video dan mengugut meminta sejumlah wang.

“Dia menghubungi saya menerusi panggilan video yang saya sendiri pun tak tahu dari mana dan bagaimana dia boleh mendapat nombor telefon saya.

“Menerusi panggilan video itu, saya tanya asal usulnya dan dia memberitahu bahawa dia adalah warga Iran dan meminta wang USD1,000 sekiranya saya tidak mahu hilang kesemua gambar yang ada di Instagram,” katanya.





Lufya yang muncul menerusi program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6) turut berpesan supaya berhati-hati ketika menggunakan WiFi umum.

“Yang pasti, saya digodam selepas saya mengakses WiFi di satu tempat awam. Sejak itu, Instagram saya digodam. Bukan hanya Instagram, individu itu juga menggodam peti e-mel saya,” katanya.

Kini, dia dapat mengakses semula Instagramnya. Selain kehilangan gambar, Lufya juga turut kehilangan ribuan pengikut di Instagramnya yang sebelum ini sudah mencecah jumlah pengikut lebih 300,000 itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post