Tidak mahu lagi mengingat kisah lalu, pelakon Atikah Suhaime kini sedang rancak merencana kembali kerjaya seninya.
Mengakui tunangannya, penyanyi Awi Rafael banyak merubah hidupnya kini, Atikah tekad untuk menjadi seorang yang lebih positif dan fokus kepada kerjaya seni yang hampir ‘ditinggalkan’ sebelum ini.
“Hidup saya memang banyak berubah semenjak kenal Awi. Bukan saja selepas bertunang, tetapi sebelum itu lagi ketika mula berkawan rapat dengannya beberapa bulan lalu di mana saya dapat merasakan aura positif yang dibawa Awi.
“Saya rasa lebih tenang selepas bertunang dengannya kerana apa sahaja yang saya lalui sama ada sedih atau gembira, dia ada bersama saya untuk mendengar tidak kiralah berkaitan kerjaya atau sebaliknya.
“Apa yang boleh saya katakan, hidup saya semakin baik dan berjalan lancar berbanding sebelum ini,” kata Atikah ketika ditemui di majlis Pelancaran Koleksi Raya PrimaValet 2018 pada Rabu.
Bagaimanpun, Atikah menafikan tanggapan setengah pihak yang melihat kehidupannya kini kelihatan seperti dikawal dan diaturkan oleh Awi dalam segala aspek.
“Saya tak rasa dia cuba mengawal hidup saya, cuma dia nak memperbaiki apa yang tidak kena sebelum ini sekali gus membantu saya saya melancarkan segala perancangan yang pernah saya rancang sebelum ini.
“Sebanarnya saya banyak perancangan dalam hidup sebelum ini, namun saya tak tahu bagaimana nak aturkan benda tu sendiri.
“Jadi bila dia hadir dalam hidup saya, dia bantu memudahkan semua itu. Alhamdulillah saya bersyukur sangat kerana dia membawa saya dalam persekitaran yang lebih positif dan ia cukup menggembirakan saya,” luahnya.
Menyentuh tentang persiapan perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mac tahun depan, dan hasrat Awi untuk mengadakan majlis resepsi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), kata Atikah yang bakal muncul dalam drama terbaharunya, Pengantin Musim Salju ini, dia dan Awi mempunyai keinginan yang sama.
“Kami belum buat apa-apa persiapan untuk majlis, tetapi saya kira ia tidak menjadi masalah kerana kami masih mempunyai banyak masa dan keluarga juga sedia membantu.
“Tentang hasrat Awi mengadakan resepsi perkahwinan di IKIM, saya akui memang suka dengan ideanya itu. IKIM merupakan satu lokasi yang cukup menarik dan tentunya bakal memberikan aura yang positif buat kami dan para tetamu yang hadir nanti,” katanya.