Kali ini imej Neelofa disamakan seperti kelambu, Cheshire Cat pula


Kali ini imej Neelofa disamakan seperti kelambu, ‘Cheshire Cat’ pula

Neelofa tidak kisah jika ada pihak mengkiritik pakaian yang digayakan pada malam AME2018.

Seperti mana tahun sebelum ini, busana yang digayakan oleh pelakon dan pengacara Neelofa di Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) nampaknya kembali menjadi perhatian netizen yang menjadikan ia sebagai bahan jenaka di Twitter.

Gaun kembang berwarna merah jambu yang digayakan pada penghujung acara rekaan Fizowoo disamakan seperti watak Cheshire Cat dalam filem Alice's Adventure in Wonderland.

Manakala pakaian The Painting Dress juga daripada pereka sama turut menjadi mangsa netizen apabila mereka mempertikaikan tudung net yang dipakai Neelofa seperti bunga telur dan kelambu katil.


Netizen menyamakan gaun Neelofa seperti watak kucing dalam Alice's Adventure in Wonderland.

Neelofa yang ditemui selepas selesai AME2018 berlangsung memberitahu dia tidak terkejut dengan perkara itu.

Pada AME2015, pakaian digayakan Neelofa rekaan pereka yang sama dikatakan seperti 'sotong' sementara pada anugerah berkenaan pada 2017, imej Neelofa seperti berkemeja T turut mendapat kritikan.

Kata Neelofa, 29, sudah dua tahun berturut-turut pakaiannya ke majlis tersebut menjadi bahan jenaka netizen dan dia sudah terbiasa dengan keadaan itu.

"Sudah dua tahun benda serupa berlaku, jadi tidak terkejut kalau berlaku lagi kali ini. Saya pun sudah terbiasa.






Neelota bergandingan dengan Nabil Ahmad sebagai hos AME2018.

"Paling penting saya berpuas hati dengan pakaian yang saya pakai dan apa orang hendak cakap terpulang," katanya.

Pada AME2018, Neelofa memenangi trofi utama iaitu Top Top MeleTOP 2018 selain Pelakon MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Manakala penyanyi Khai Bahar pemenang Top Top MeleTOP 2018 (Lelaki) selain Lagu MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia tidak terlalu memberi perhatian kepada perkara itu sebaliknya gembira dapat melunaskan tanggungjawab sebagai hos anugerah itu dengan baik.


Aksesori kain net berwarna hitam yang dipadankan dengan tudung pula disamakan seperti kelambu dan bunga telur.

"Alhamdulillah kerja keras saya membuahkan hasil dan tahun ini pun saya lebih bersedia berbanding tahun sebelum ini.

"Dua hari kami berlatih dan kami lebih bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu," katanya.

Mengulas mengenai kemenangannya, Neelofa memberitahu ia bukti sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi terhadapnya walaupun namanya terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.

Neelofa dan Khai Bahar pemenang utama AME2018.

Kata Neelofa, sokongan peminat terhadapnya membuatkan dia lebih bersemangat dalam meneruskan kariernya selepas ini.

"Kemenangan ini memang tak dijangka tetapi Alhamdulillah ini rezeki daripada Allah.

"Ia juga bukti sokongan peminat terhadap saya tidak berbelah bahagi dan masih percayakan bakat saya disebalik apa pun yang berlaku sebelum ini," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post