Pada usia 18 tahun, penyanyi Ismail Izzani mampu tersenyum lebar apabila diterima baik peminat.
Lagu Sabar memperkenalkan namanya dalam bidang seni dan kemudian diikuti lagu Demi Kita sebagai single kedua,
“Ia menjadi motivasi buat saya untuk terus memberikan yang terbaik. Idea saya yang menggabungkan tarian dan lagu sebagai kelainan membuahkan hasil positif.
Terbaru, Ismail tampil dengan lagu berjudul Luar Biasa yang didedikasikan khas buat peminat yang sentiasa memberi sokongan selama ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus menyokong. Impak lagu Sabar terlalu kuat sehingga saya cepat diterima ramai.
“Amat mengharukan mereka turut mendoakan kejayaan saya dan sanggup setia menyokong saya biarpun apa terjadi.
“Dari situ datangnya idea untuk buat lagu ini dan apa yang terhasil ialah luahan perasaan yang ikhlas buat mereka,” katanya.
Paling menggembirakan penyanyi muda ini, Luar Biasa mencatat kejayaan luar biasa apabila trending di carta YouTube dan Spotify.
“Ia menjadi motivasi buat saya untuk terus memberikan yang terbaik. Idea saya yang menggabungkan tarian dan lagu sebagai kelainan membuahkan hasil positif.
“Ia bukan mudah kerana menyanyi sambil menari ada cabarannya sendiri. Saya perlu jaga stamina kerana apabila mempersembahkan Luar Biasa sudah tentu saya perlu menari,” katanya yang sentiasa berjoging dan menjaga pemakanan.
Melihatkan kepada popularitinya, anak bongsu penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam ini turut terbabit dengan kempen antibuli bagi menyedarkan masyarakat berkenaan bahayanya perbuatan ini.
“Buli boleh berlaku di mana-mana sama ada di sekolah, di rumah, di tempat kerja dan di jalan raya. Bahkan ada buli yang membawa kepada kematian dan amat menyedihkan.
“Jelas ia bukan budaya yang baik dan perlu dielakkan oleh kita semua,” katanya yang akan tampil dengan single terbaru selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, peminat Ismail berpeluang menyaksikan persembahannya dalam pertandingan akhir Pencarian Wanita Melayu 2018 yang akan berlangsung di Plaza Shah Alam, Shah Alam jam 2 petang esok.
“Saya gembira kerana dijemput untuk membuat persembahan. Ini peluang terbaik buat peminat untuk hadir menyaksikan persembahan saya.
“Sokongan mereka pasti akan memeriahkan lagi suasana pertandingan dan persembahan saya nanti,” katanya.