Hannah Delisha ada permit kerja yang sah di Malaysia


Semakin mendapat tempat di hati peminat, Hannah Delisha mengakui kerap menerima tawaran di Malaysia.

Malah, selebriti berusia 22 tahun ini juga mengakui jadual karier seninya penuh sehingga akhir tahun ini.

"Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya.

"Tahun ini, sepanjang masa saya ada di sini. Jadual saya pun penuh hingga hujung tahun," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui pada pelancaran drama siri, 3 Gadis Manis musim kedua, semalam.

Rentetan itu, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer ini mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran dari negara kelahirannya, Singapura.

"Saya bukan sengaja menolak. Tapi ada tawaran yang datang dari sana lambat. Kadang-kadang, ia bertindih pula dengan jadual sedia ada.

"I would love to go back to Singapore. Lagipun, saya juga mula berlakon dari sana. Mungkin belum ada rezeki lagi.

"Alhamdulillah, mujurlah produksi di sana juga memahami akan kesulitan saya," katanya.

Pada masa sama, Hannah juga boleh menarik nafas lega apabila karier nyanyiannya juga diterima positif.

Setakat ini, pelakon Spaghetti Kuah Kacang ini sudah memiliki empat single iaitu Anugerah, Baby Bro, Esok Masih Ada dan Tak Perlu Kata Apa-Apa.





"Lagu Esok Masih Ada juga dipilh menjadi lagu tema telenovela, Mona Lisa," katanya.

Justeru, demi memastikan kelancaran kerjaya seninya itu, pemilik nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch mengakui memiliki permit kerja yang sah di Malaysia.

Susulan itu, pelakon The Hantus ini mengakui tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah dokumentasi.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tiada masalah mengenainya.

"Lagi pula, ia adalah proses utama yang penting demi membina karier di sini,"

Tambahnya lagi, semua urusan dokumentasi diuruskan oleh syarikat pengurusan bakat yang dinaunginya.

"Biasanya, pihak pengurusan yang akan membuat permit kerja untuk setahun.

“Lagi pula saya terikat dengan kontrak sebagai duta telefon Huawei di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah bakal muncul dalam drama mini siri, 3 Gadis Manis musim kedua di samping Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

"Saya memegang watak Jo dan karakter ini sedikit kasar namun saya sukakannya.

"Ini juga merupakan pengalaman pertama saya berlakon dalam drama bersiri online.

"Saya berharap agar peminat menggemarinya," katanya.

Mini siri ini diarahkan oleh Junad M Nor dan Nadirah Zakariya serta akan bersiaran menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Dalam perkembangan lain, Hannah juga bakal terbabit dalam penggambaran drama bersiri adaptasi Korea, Full House, Mencintaimu Mr Photographer Raya selain telefilem, Cinta Lebaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post