Baru-baru ini Diva ada dengar yang pelakon Datin Almy Nadia dimasukkan ke hospital. Cuma belum sempat Diva risik sakit apa, dengarnya sudah dibenarkan keluar wad. Alhamdulillah. Moga semuanya sihat-sihat belaka.
Nak dijadikan cerita, dalam dirinya tak berapa nak sihat itu, Diva dengar ada juga yang buat hati Almy sakit. Kalau hati yang sakit pun bahaya. Bukan apa, boleh mengundang marah kalau tak boleh dikawal.
Ceritanya, Diva dengar Almy jadi naik berang apabila ada individu yang menggunakan khidmatnya untuk melakukan review berbayar tidak puas hati dengan apa yang dibuat Almy. Barangkali dek geram dengan lemparan kata-kata pelanggannya itu, Almy kemudian memuat naik status panjang jela untuk meluahkan apa yang terpendam.
Katanya, Almy mengenakan caj RM200 sahaja untuk membantu golongan peniaga online, tetapi sayangnya ada yang tidak berpuas hati apabila dikatakan posting Almy untuk mempromosikan produk pelanggannya itu seakan-akan tidak memberi sebarang impak kepada perniagaannya.
Aduhai, agaknya, itu yang Almy cuba terangkan situasi tersebut. Menerusi apa yang ditulis Almy, Diva merasakan dirinya sebenarnya terkilan apabila diperlakukan begitu. Diva difahamkan, Almy membuat slot untuk review produk pun selepas diminta pengikutnya berbuat demikian, tapi sayangnya dia pula jadi mangsa dikecam apabila dikatakan tidak berpatutan dengan harga yang dikenakan.
Ada betulnya juga apa yang Almy katakan itu. Bukan apa, sesetengah artis itu Diva dengar caj boleh cecah beribu ringgit tau. Apapun, harap-harapnya perkara ini tidak berpanjangan ya.